Skip to main
Logo Malaysiakini

Felcra sahkan ahli lembaga pengarah dijangkiti Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Felcra Berhad hari ini mengesahkan bahawa salah seorang ahli lembaga pengarah mereka diuji positif Covid-19.

Berikutan itu, pihak pengurusan telah mengambil langkah berwaspada dengan memberi arahan kepada pekerja yang berpusat di ibu pejabatnya untuk bekerja dari rumah hingga Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan oleh Felcra hari ini.

"Semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat telah dihentikan

serta merta bermula hari ini, 4 Mac 2020 sehingga Jumaat, 6 Mac 2020 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

"[...] Pada masa yang sama, pihak syarikat telah mengenal pasti staf-staf yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan kesemua mereka kini sedang membuat ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan.

"Sehingga kini, mereka masih di dalam self-quarantine sehingga pihak hospital dapat memberi keputusan bagi ujian saringan tersebut.

"Selain itu, langkah-langkah pencegahan semasa adalah termasuk melakukan ujian saringan suhu di lobi premis syarikat dan menyediakan hand sanitizer kepada staf dan pelawat," kata kenyataan itu.

Semalam, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan tujuh kes baru Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan pesakit kes ke-26.

Pesakit kes ke-26 adalah pegawai kanan Khazanah Nasional Berhad dan UDA Holdings Berhad, yang juga pernah kontak rapat dengan bekas menteri dan bekas timbalan menteri tetapi kedua-duanya diuji negatif.

Difahamkan, ahli lembaga pengarah Felcra adalah salah satu daripada tujuh pesakit kes baru yang diumumkan semalam.

Tujuh jangkitan Covid-19 yang baru itu membawa jumlah keseluruhan di Malaysia kepada 36 kes.

Sehingga kini, 92,153 telah dijangkiti di seluruh dunia dengan 3,127 kematian. Sebahagian besar kes di China (80,151 kes) di mana virus pertama kali merebak, tetapi kini telah merebak ke bahagian lain di dunia.

Sesetengah negara bergelut untuk menangani virus berkenaan dan mengalami peningkatan kes termasuk Korea Selatan (5,186 kes), Iran (2,336 kes) dan Itali (2,036 kes).