Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengecualian cukai perkhidmatan hotel di Langkawi selama 6 bulan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Kedah bersetuju untuk melaksanakan pengecualian cukai perkhidmatan hotel kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi bagi tempoh enam bulan bermula hari ini.

Menteri Besar Mukhriz Tun Mahathir berkata inisiatif itu bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri Kedah khususnya di Langkawi yang mengalami penurunan kehadiran jumlah pelancong antarabangsa susulan Covid-19.

“Kita mendengar keluhan antaranya daripada pengusaha hotel dan restoran di Langkawi yang berdepan masalah kekurangan pelancong. Sebab itu, untuk tempoh enam bulan ini pelancong yang menginap di hotel-hotel sekitar Langkawi akan diberi pengecualian cukai yang kebiasaannya mereka perlu membayar cukai itu.

“Walaupun Kedah tidak bermasalah sangat dengan COVID-19, namun masih ada kesannya. Sebelum ini, kita banyak terima pesawat dari China tetapi sekarang memang berlaku pengurangan daripada jumlah pelancong, namun kita boleh tarik pelancong dari negara lain untuk datang ke negeri ini,” katanya kepada pemberita, di Alor Setar, Kedah hari ini.

Terdahulu, inisiatif pengecualian cukai perkhidmatan hotel itu dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat exco yang diadakan di Wisma Darul Aman.

Mukhriz berkata kerajaan negeri akan memohon sedikit peruntukan daripada kerajaan pusat menerusi dana Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi membantu merancakkan semula sektor pelancongan Kedah.

“Sekarang kita (kerajaan negeri) ada sedikit peruntukan tetapi kita akan mohon sedikit daripada jumlah peruntukan RM20 bilion daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah dilancarkan sebelum ini. Selain itu, kita juga sedang lihat sama ada perlu menyumbang dana untuk membuat pengiklanan bagi menarik lebih ramai pelancong luar datang ke Kedah,” katanya.

- Bernama