Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga sekeluarga pulang dari Korea Selatan disahkan bebas jangkitan Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiga sekeluarga dari Kuala Krai, Kelantan yang disyaki dijangkiti Covid-19 apabila demam selepas pulang dari Korea Selatan disahkan negatif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, perkara itu disahkan selepas keputusan ujian darah yang diperoleh petang tadi.

"Hari ini tular mengenai tiga orang disyaki dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Keputusan ujian makmal yang diperolehi petang tadi, ketiga-tiga kes ini didapati tiada jangkitan Covid-19.

"Sehingga hari belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 di negeri Kelantan. Pengurusan kes yang disyaki Covid-19 adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, tular satu laporan mengatakan tiga beranak yang baru pulang bercuti dari Korea Selatan disyaki dijangkiti Covid-19 selepas mengalami demam.

Mereka terdiri daripada seorang ibu berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya berusia 20 dan 23 tahun yabg dikatakan dikuarantin di rumah selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut laporan yang tular melalui media sosial itu, mereka bercuti ke Korea Selatan pada 20 Februari lalu sebelum kembali ke tanah air pada 24 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pihaknya juga memaklumkan sehingga hari ini, sebanyak 26 kes disyaki Covid-19 dikesan di negeri ini dan ujian makmal menunjukkan kesemua 26 kes ini adalah negatif.

"Justeru, kita meminta masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penularan laporan mengenai kes tersebut.

Tegasnya, orang ramai diharap tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran umum.

"Saya nasihatkan jangan sesekali menyebarkan perkara tidak sahih dan pihak polis tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang didapati berbuat demikian," jelasnya.