Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: PM digesa segera lantik menteri kesihatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digesa supaya segera melantik menteri kesihatan susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

Exco Pemuda Ikatan, Dr RR Ramli berkata kerajaan kini perlu memfokuskan semula usaha untuk membendung wabak tersebut selepas hampir seminggu terpalit isu kemelut politik.

“Pelantikan menteri kesihatan hendaklah menjadi agenda utama dan disegerakan untuk membantu memudahcara dan memastikan kelancaran bantuan kewangan, sokongan moral, bantuan peralatan yang mencukupi dan juga memastikan koordinasi antara kementerian yang lebih lancar dan teratur.

“Beban ini tidak seharusnya diletakkan di atas bahu penjawat awam sahaja, tetapi eksekutif perlu memainkan peranan dan sedia menggalas tanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Dr Ramli turut berkata setelah 11 hari tiada kes baru bagi wabak tersebut, gelombang kedua yang bermula pada 27 Februari 2020 telah menyaksikan 21 kes baru dalam jangka masa 2 hari.

Tambahnya, sehingga kini ia merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak 50 kes.

“Ini adalah pelonjakan yang eksponential dan menunjukkan negara kita tidak kalis kepada ‘exposure’ kepada kes-kes baru,” katanya lagi.

Selain itu, Dr Ramli turut berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan tambahan kepada kementerian kesihatan, terutamanya bagi memberi dana kewangan terhadap hospital kerajaan.

“Maka penambahan peruntukan khas ini diharap dapat meminimakan kesan Covid-19 kepada aktiviti-aktiviti lain di hospital-hospital kerajaan,” katanya.

Sejak menyandang jawatan perdana menteri Ahad lalu, Muhyiddin sehingga kini masih belum membentuk barisan kabinet baru.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang juga MP Kuala Selangor antara yang mendapat sokongan tinggi netizen untuk diambil kembali ke kabinet bagi menyandang semula jawatan berkenaan.