Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq gesa ahli Bersatu lawan kleptokrat dalam k'jaan baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa anggota-anggota partinya untuk tidak hanya berdiam diri, tetapi untuk bangkit menentang pemimpin kleptokrat dalam gabungan kerajaan baru.

Katanya, seruannya itu bukan soal “memecahbelahkan Bersatu”, tetapi soal prinsip prinsip dan pendirian parti.

“Dalam Bersatu, kita tak boleh berdiam diri. Ini bukan soal nak memecahbelahkan Bersatu. Ini soal pendirian prinsip Bersatu, menolak rasuah, menolak ketidakadilan!” katanya disambut tepukan gemuruh dan laungan “lawan” oleh kira-kira 200 penyokong.

Beliau berkata demikian ketika berucap di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir di Alor Setar, malam semalam.

Katanya, memandangkan Kedah terkenal sebagai kubu kuat Dr Mahathir Mohamad, dia menggesa agar anggota parti negeri itu terus “kekal setia” dan terus berjuang bersama pengasas serta pengerusi Bersatu tersebut dalam mencapai “perjuangan asal” parti berkenaan.

“Letakkan tepi jawatan, kuasa dan kewangan. Kalau dahulu kita boleh bersusah untuk mengembalikan maruah negara, bangsa kita, pada hari ini, tidak ada alasan untuk kita terus berjuang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari, sehari selepas “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerjasama antara Bersatu, Umno, PAS dan beberapa bekas PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali.

Peletakkan jawatannya itu dikatakan kerana tidak mahu menerima Umno secara keseluruhan (en bloc), namun ia menyebabkan sokongan berubah-ubah di kalangan wakil rakyat, terhadap calon perdana menteri baru.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai perdana menteri kelapan, mengetuai gabungan kerajaan baru dikenali Perikatan Nasional.

Namun, kata Syed Saddiq, Mahathir mendapat maklumat bahawa Umno akan “mengugut” kerajaan baru yang diterajui Bersatu kerana mereka merupakan blok politik terbesar dan memiliki jumlah kerusi tertinggi.

Dia memetik kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang berkata beliau menjangkakan perbicaraan mahkamah lebih "kondusif" selepas kejatuhan PH, selain kejadian presiden Umno kelmarin yang didakwanya “menipu” mahkamah bagi menanguhkan perbicaraannya pada 2 Mac.

Namun, Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menyatakan tiada sebarang mesyuarat diadakan dengan perdana menteri, sehingga Ahmad Zahid kemudiannya memohon maaf kepada mahkamah atas “kesilapan penggunaan kata-kata” yang menyebabkan salah faham.

“Mana masa depan parti kita?

“Kita berjuang berhabis-habisan menentang pemimpin rasuah kleptokrat ini, kita dapat tubuhkan kerajaan, bersihkan kerajaan.

“ (Apa) Ertinya kita jemput mereka balik? Haih, buat apalah saya masuk politik. Baik saya duduk diam saja. Biar mereka menang saja. Tak ada beza,” kata Syed Saddiq.

[Baca berita asal]