Hari 88: Mahkamah tentukan boleh terima audio berkait 1MDB pada Isnin
Perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh menyelewengkan RM42 juta dana SRC International masuk hari ke 88.
Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah tetapkan Isnin untuk tentu boleh terima audio berkait 1MDB
3.55 petang - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan hari Isnin untuk mendengar serahan lanjut mengenai kebolehterimaan rekod audio berkaitan 1MDB yang dikatakan sebagai perbualan bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa personaliti lain.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan perkara itu pada akhir prosiding petang ini.
Isnin pada minggu depan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dijangka meneruskan keterangannya sebagai saksi pembelaan yang disepina.
Peguam Najib mahu kesahihan bukti rakaman audio 1MDB
3.46 petang: Pasukan pembelaan Najib Razak ingin kesahihan rakaman audio 1MDB yang dikatakan melibatkan perbualan bekas perdana menteri dengan beberapa tokoh lain dibuktikan.
Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu perkara itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.
Shafee memberitahu mahkamah bahawa pembelaan juga mahu menentukan sama ada rakaman audio itu ada campur tangan atau tidak.
Sebelum itu, Shafee berbalah dengan saksi pembelaan yang disapina, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
Sebahagian besar soalan adalah mengenai kebolehterimaan dan kesahihan rakaman audio yang didedahkan SPRM kepada umum pada 8 Jan.
Kandungan audio lebih penting daripada cara rakaman dibuat
3.40 petang - Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya memberi keterangan bahawa kandungan rakaman audio perbualan berkaitan dengan 1MDB yang dikatakan melibatkan Najib Razak lebih penting daripada mengetahui sama ada rakaman itu diperoleh secara tidak sah atau dipintas.
"Isi kandungannya lebih penting, sama ada ia menyalahi undang-undang atau dipintas, ia (sidang media itu) perlu dilakukan.
"Jadi orang ramai tahu, jangan berulang lagi, Peguam Negara atau PMO boleh terbabit dalam kesalahan seperti mendedahkan maklumat rahsia, mengganggu atau mereka-reka bukti dengan tujuan untuk mengelakkan pendakwaan," katanya memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah .
Latheefa juga berkata tindakan mendedahkan rakaman audio itu kepada orang ramai tidak menyalahi undang-undang.
KP SPRM tak dapat sah rakaman audio hasil pintasan intipan
3.20 petang - Peguam kepada Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah mengasak Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya untuk menentukan jika rakaman audio yang bocor itu merupakan hasil pintasan daripada kegiatan pengintipan risikan.
"Tidak. Saya tidak akan mengatakan sama ada kami tahu ini adalah (hasil) pintasan atau tidak, ia boleh jadi apa-apa, ia adalah rakaman," katanya.
Terdahulu, Shafee mencadangkan kandungan dalam rakaman audio tidak boleh digunakan atau didedahkan sebagai bukti dan hanya boleh digunakan untuk tujuan perisikan.
SPRM dedah audio berkait Najib demi kepentingan awam
3.12 petang - Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menegaskan dalam keadaan tertentu yang melibatkan kepentingan orang ramai, suruhanjaya antirasuah itu boleh sahaja membuat rakaman berkaitan perkara awam.
Saksi pembelaan yang disepina itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau menjawab soalan Shafee sekiranya beliau telah mempertimbangkan jika mahkamah boleh menerima rakaman audio perbualan berkaitan 1MDB yang dikatakan melibatkan Najib dan beberapa personaliti lain.
Shafee menyoal hal ini berhubung pendedahan SPRM mengenai rakaman audio itu pada 8 Januari lalu.
"Tidak ada keperluan seperti itu apabila ia melibatkan kepentingan awam. Ini bukan kali pertama apabila ia melibatkan kepentingan awam yang kami kongsikan dengan orang ramai.
"Jika pasukan penyiasat (SPRM) menemukan berjuta-juta wang tunai, gambar akan dikongsi dengan orang awam, sebelum wang itu dihantar bagi ditandakan untuk siasatan. Hal ini adalah dalam konteks yang sama," kata Latheefa.
Beliau kemudian memetik siasatan terhadap rasuah jabatan bekalan air di Sabah, di mana berjuta-juta ringgit ditemui oleh pihak berkuasa. Katanya, dalam kes itu, pengarah (Jabatan Bekalan Air Sabah) adalah antara yang dikenal pasti terbabit.
Rakaman audio babitkan Najib jelas kedengaran - KP SPRM
2.58 petang - Rakaman audio perbualan berkaitan dengan 1MDB yang dikatakan membabitkan Najib Razak sangat jelas, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi pembelaan yang disepina ke mahkamah itu memberikan keterangan mengenai rakaman audio yang didedahkan kepada media pada 8 Januari lalu.
"Pada hari Isnin 6 Jan lepas, kami (SPRM) bermesyuarat pada sebelah pagi untuk membincangkan rakaman itu. Saya dimaklumkan bahawa rakaman audio tersebut mempunyai pelbagai tarikh yang melibatkan pelbagai personaliti.
"Kami memainkan rakaman audio itu dan mendapati kandungan rakaman membincangkan fail yang melibatkan personaliti tertentu.
"Timbalan ketua bahagian (Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram) Amla (SPRM) Zamry dan beberapa pegawai SPRM saya dapat mengenal identiti orang yang bercakap (dalam rakaman audio).
"Rakaman perbualan sangat jelas (kedengaran). Kami dapat mengenal pasti apa yang mereka bicarakan, siapa mereka dan konteks perbualan.
"Berdasarkan kandungan, kami (SPRM) boleh mengesahkan ia adalah sahih," kata Latheefa.
2.58 petang - Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pihak berkuasa masih menyiasat kesahihan rakaman audio yang dikatakan mengandungi suara Najib Razak dan beberapa orang lain.
Shafee Abdullah: Sehingga kini terdapat sebarang proses untuk mengesahkannya?
Latheefa: Kami telah menyerahkan rakaman itu kepada polis dan mereka masih menyiasat. Saya fikir mereka telah menyerahkan kepada pihak keselamatan siber. SPRM juga sedang menyiasatnya, membuka fail di bawah Seksyen 23, atas proses yang sewajarnya. Ia sedang berjalan.
Terdahulu, Latheefa berkata beliau dan pegawai SPRM lain mengenal pasti suara dalam audio itu milik Najib, berdasarkan suara dalam rakaman tersebut.
SPRM terima 9 pemacu pena dalam sampul surat - Latheefa
2.45 petang - Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pada 3 Jan lalu, timbalannya Azam Baki telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau telah menerima bungkusan daripada pegawai khasnya.
Bungkusan itu mengandungi sembilan pemacu pena (pendrive) yang kemudiannya didedahkan mengandungi rakaman audio bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa yang lain.
Latheefa berkata rakaman audio itu kemudiannya dikongsi dengan orang ramai dan media kira-kira seminggu kemudian.
"Tujuannya adalah untuk berkongsi dengan orang ramai dan media dan mendedahkan kandungan yang terlibat, ia mengandungi perkara yang sangat serius terhadap kepentingan awam.
"Ia mendedahkan perbualan yang mewakili anggota lembaga kerajaan seperti SPRM, Pejabat Peguam Negara, Pejabat Perdana Menteri terlibat bersekongkol untuk menutup siasatan tertentu terhadap orang yang kami percaya memegang salah satu jawatan tertinggi di negara ini," katanya ketika disoal peguam Muhammad Shafee Abdullah.
2.37 petang - Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tampil memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.
2.35 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh apabila prosiding bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Dua hari lalu berlaku kesilapan dalam sepina pasukan pembelaan menyebabkan Latheefa tidak dapat memberi keterangan pada masa itu.
Bagaimanapun, ketua suruhanjaya antirasuah itu telah menyuarakan hasrat kesediaan beliau untuk memberi keterangan pada hari ini.
Sebagaimana prosiding semalam, perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini akan bermula sekitar jam 2.30 petang. Ini kerana peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah perlu hadir urusan di Mahkamah Rayuan pagi ini.
Shafee ketika prosiding semalam juga menyatakan beliau akan cuba mendapatkan bekas peguam negara, Apandi Ali untuk memberi keterangan pada hari ini
Mahkamah semalam mendengar antara lain bahawa putera Arab yang dikatakan tidak menandatangani sendiri kenyataan SPRM yang mengaku mengesahkan keaslian empat surat yang didakwa mengesahkan derma Arab kepada perdana menteri Najib Razak.
Najib kini dibicara terhadap tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana daripada SRC International.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai