Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada pertukaran jawatan dalam polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perubahan kerajaan yang kini dipimpin Perikatan Nasional, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

"Tiada (pertukaran)...pasukan polis bukan parti politik, kita tertakluk kepada akta polis, begitu juga jabatan kerajaan lain

"Kita terus berfungsi menjalankan peranan, tidak ada soal pertukaran, mungkin ada pertukaran sebab nak pencen," katanya ketika ditemui hari ini di Klang.

Hamid berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan pertukaran pegawai tinggi polis akan berlaku susulan pertukaran kerajaan.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis menandatangani deklarasi kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pengarah APMM Mohd Zubil Mat Som.

Pertukaran jawatan pegawai kanan dalam PDRM kali terakhir pada 6 Feb lalu yang mana Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, dilantik menjadi Ketua Polis Johor yang baru berkuat kuasa 6 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Dalam pada itu Hamid berkata, kes-kes berprofil tinggi yang akan atau sedang dibicarakan di mahkamah berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara dan mahkamah.

Jelasnya, setakat ini tiada perubahan berlaku dan proses undang-undang tetap berjalan seperti biasa.

"Setakat ini tak ada apa-apa perubahan, itu proses undang-undang ia bukan proses politik.

"Ia proses undang-undang, yang mana telah ditetapkan untuk bicara, yang sedang berbicara, berjalanlah seperti biasa. Tak ada sesiapa pun boleh halang, itu bawah peguam negara dan kehakiman," katanya ketika ditemui di Klang, hari ini.

Antara kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan ialah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor pula didakwa di atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan juta ringgit berkaitan projek membekal dan memasang tenaga solar di 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Turut berdepan pertuduhan di mahkamah ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor juga turut berdepan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada pemaju perumahan.

Kes berprofil tinggi ini menjadi tumpuan apabila perubahan kerajaan berlaku selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan diambil alih Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tegas Hamid, adalah menjadi satu kesalahan jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan arahan supaya kes berkenaan ditutup atau sebagainya.

"Sekiranya ada apa-apa yang mengeluarkan arahan menghalang atau sebagainya itu memang menyalahi undang-undang. Kehendak undang-undang semua mesti ikut dan patuh," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara juga menjelaskan tidak akan berlaku pertukaran jawatan dalam organisasi itu meskipun kerajaan bertukar.

Sementara itu Hamid ketika ditanya mengenai Low Taek Jho atau Jho Low, berkata, buat masa ini tiada perkembangan terbaru mengenai ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu.

"Saya tunggu dia balik, saya sedia sambutnya dengan tertib," katanya.