Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA hanya bincang polisi, bukan jawatan kabinet

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MCA tidak ada berbincang mengenai jawatan kabinet setelah parti itu kembali menjadi kerajaan, sebaliknya hanya memberikan tumpuan untuk memperbetulkan polisi-polisi yang didakwa mereka "tidak betul" oleh pentadbiran terdahulu.

Bercakap kepada pemberita di luar bangunan ibu pejabat MCA hari ini, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon menegaskan, pelantikan anggota kabinet adalah kuasa mutlak perdana menteri Muhyiddin Yassin.

MCA sendiri katanya tidak ada berbincang mengenai hal itu di dalam parti.

“Kita tidak membincangkan isu kabinet, tetapi kita membincangkan apa yang patut kerajaan lakukan untuk memperbetul polisi-polisi dan dasar-dasar yang kita rasa tak betul sebelum ini.

“Itu tumpuan kita, terutamanya isu pendidikan, ekonomi, ini merupakan dua perkara yang akan dibawa oleh MCA kepada kerajaan. Jawatan kabinet tidak dibincangkan,” katanya.

Apabila disoal sama ada MCA dijemput untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri baru atau gabungan kerajaan baru, Chong menjelaskan hanya presiden MCA Wee Ka Siong mempunyai jawapan terhadap sebarang soalan berhubung perbincangan pembentukan kabinet.

Chong berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita selepas merasmikan kempen pengumpulan dana yang dianjurkan pertubuhan pemandu teksi dan e-hailing.

Pada asalnya, acara itu sepatutnya dirasmikan Wee, namun digantikan oleh Chong.

Wee bagaimanapun dilihat  hadir di ibu pajabat MCA pagi ini.

Muhyidin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu, menerajui gabungan kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu-BN-PAS. 

Gabungan itu turut mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selepas kejayaan Perikatan Nasional menawan Putrajaya daripada PH, salah satu perkara yang dinanti-nanti ialah barisan kabinet yang bakal ditentukan Muhyiddin.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan Umno memberitahu Malaysiakini, terdapat sesetengah daripada mereka yang tidak senang dengan khabar angin berkenaan siapa yang bakal dilantik timbalan perdana menteri (TPM) dan menteri kanan yang lain.

Terutamanya, mereka dikatakan tidak senang dengan ura-ura bahawa bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dikatakan antara calon yang disebut-sebut untuk jawatan TPM.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya akan menyerahkan sepenuhnya soal pembentukan kabinet kepada Muhyiddin.