Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Rayuan benar prosiding komital Lokman Adam ditangguh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan prosiding komital bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang dijadualkan minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang hadir bagi pihak bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tidak membantah permohonan itu.

Yaacob, yang mengetuai panel itu, turut menetapkan 31 Mac untuk mendengar rayuan Lokman bagi mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

Hakim itu berkata mereka lebih suka mendengar hujah kedua-dua pihak pada satu masa.

Terdahulu, Muhammad Shafee mencadangkan agar beliau memulakan hujahnya berhubung aspek pengenalan kes hari ini dan ia ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan pendakwaan mengemukakan hujahnya.

Katanya beliau telah memperoleh alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 2 Mac dan memfailkan petisyen rayuan pada hari berikutnya.

Muhammad Shafee berkata salinan petisyen itu telah dipanjangkan kepada pendakwaan pada hari sama, sambil menambah bahawa beliau percaya mereka memerlukan masa untuk menjawab.

Perkara itu disahkan Mohd Dusuki yang kemudian memaklumkan mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk menjawab tetapi tidak membantah cadangan Muhammad Shafee untuk memulakan hujahnya hari ini.

Pada 14 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad Datuk yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 22 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah dengan melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali pada 25 Sept 2019.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 13 Mac untuk mendengar prosiding komital itu.

Dalam permohonan itu, Thomas meminta mahkamah memenjarakan atau mendenda Lokman kerana melakukan perbuatan tersebut.

- Bernama