Skip to main
Logo Malaysiakini

Audio Najib didedah untuk elak tutup salah laku : Bos SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES SRC NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan klip audio perbualan telefon Najib Razak untuk menghalang mana-mana pihak daripada cuba menutup kemungkinan sebarang salah laku.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, kandungan rakaman itu adalah lebih penting daripada mengetahui sama ada rakaman itu diperoleh secara tidak sah atau dipintas.

Beliau berkata demikian ketika disapina untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan berhubung kes dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas perdana menteri itu.

Oleh itu, kata Latheefa, berdasarkan "kepentingan awam", adalah penting bagi orang ramai untuk mendengar klip audio berkenaan.

"Isi kandungannya lebih penting, sama ada ia menyalahi undang-undang atau dipintas, ia (sidang media itu) perlu dilakukan.

"Jadi orang ramai tahu, jangan berulang lagi, peguam negara atau PMO boleh terbabit dalam kesalahan seperti mendedahkan maklumat rahsia, mengganggu atau mereka-reka bukti dengan tujuan untuk mengelakkan pendakwaan," katanya ketika disoal peguam utama Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Jan, SPRM mengeluarkan rakaman audio perbualan, yang turut melibatkan pembocoran maklumat dari Jabatan Peguam Negara kepada Najib berhubung siasatan 1MDB pada 2016.

Antara rakaman itu adalah perbualan telefon di antara Najib dan isterinya Rosmah Mansor, serta antara Najib dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, yang bersama Pejabat Peguam Negara pada ketika itu.

Latheefa membuat kenyataan itu selepas diasak Shafee hari ini sama ada rakaman itu tidak sah dan jika badan anti-rasuah itu mempunyai kuasa untuk memintas panggilan telefon perdana menteri ketika itu.

Shafee juga mendakwa rakaman audio itu tidak diperolehi sebagai "hasil penyiasatan" oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkenaan pada masa itu.

Latheefa memberitahu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, bahawa SPRM telah menentukan rakaman berlaku antara Januari hingga Julai 2016.

Shafee: Siapa AG ketika itu?

Saksi: (Mohamed) Apandi Ali

Shafee: Adakah sesiapa bercakap kepada peguam negara sama ada beliau telah memberi kuasa kepada SPRM menjalankan pemintasan kepada perdana menteri ketika itu, atau Setiausaha Sulit (Najib) Shukry (Mohd Salleh), atau (bekas pengerusi Tabung Haji) Abdul Azeez Rahim? Adakah anda pernah mendapat kuasa ini?

Saksi: Kami tidak mendapat (kuasa). Saya tidak mendapat kemas kini atau status siasatan.

Shafee: Anda mengatakan bahawa anda tidak boleh mendedahkan butir-butir yang berkaitan dengan isu-isu SPRM.

Saksi: Saya tidak tahu asal-usul rakaman itu, bermakna saya tidak boleh mengesahkan sama ada ia adalah satu pemintasan, atau rakaman oleh pihak polis.

Shafee: Mungkinkah ia dirakam secara haram?

Saksi: Boleh jadi.

Shafee: Jika anda melayan tanggapan bahawa ini mungkin satu rakaman haram, saya (Latheefa) tidak boleh memihak kepadanya. Saya seorang Ketua Pesuruhjaya. Adakah anda mempertimbangkan ini?

Saksi: Saya tidak melihat apa-apa yang haram mengenainya. Saya tidak pernah melihat ia sebagai perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada 26 Jan 2016, Apandi yang merupakan peguam negara ketika itu mengumumkan beliau telah membersihkan perdana menteri dan menteri kewangan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes-kes 1MDB dan SRC International. SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Pengumuman itu membawa kepada dakwaan Apandi cuba menutupi kes berkenaan, terutamanya kerana hanya enam bulan selepas pemecatan pendahulunya Abdul Gani Patail dan penyingkiran Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 2015.

Gani yang terlibat dalam pasukan petugas menyiasat 1MDB dan Muhyiddin, yang baru-baru ini mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, secara terbuka mempersoalkan cara bagaimana dana itu dikendalikan.

Sementara itu, pada prosiding hari ini, selain daripada kesahihan klip audio yang bocor, Shafee juga mempersoalkan kebolehterimaannya sebagai bukti di mahkamah.

Oleh itu, Nazlan menetapkan Isnin untuk penghujahan mengenai kebolehterimaan rakaman audio berkenaan.

Latheefa juga dijangka akan menyambung keterangannya pada hari berkenaan.

Najib, 66, menghadapi tujuh pertuduhan - satu membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan  dana RM42 juta SRC International.