Skip to main
Logo Malaysiakini

Mimbar ingatkan tanggungjawab hormat institusi diraja

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan penahanan beberapa individu atas menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini mengingatkan tanggungjawab menghormati pemimpin.

Menurut teks khutbah bertajuk, “Pemimpin ditaati, negara harmoni,” tindakan menghina institusi raja di negara ini boleh menghakis perasaan hormat dan cintakan negara.

“Setiap titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mestilah ditaati oleh setiap rakyat negara ini.

“Sesungguhnya baginda tuanku menjadi simbol kepada perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Amat menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang berani mempersenda dan menghina institusi raja di negara ini. Inilah yang menghakis perasaan hormat dan cintakan negara,” kata teks itu.

Sebelum ini, polis menahan beberapa orang individu yang dipercayai memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial.

Pada masa sama, mimbar mengajak supaya umat Islam saling menjaga keamanan dan kesejarteraan negara dalam masyarakat berbilang kaum.

“Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan isu-isu berkaitan penghinaan kepada agama, penghinaan kepada institusi raja, perkauman dan sebagainya.

“Sebagai rakyat yang bijak, kita juga mestilah mengamalkan sikap ‘semak sebelum sebar’ terhadap sesuatu berita yang diterima,” katanya.

Bantu golongan tukar jantina

Sementara itu, khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula menekankan isu pertukaran jantina yang bertajuk “ Identiti yang mengundang laknat Allah.”

Menurut teks khutbah tersebut, masyarakat perlu memainkan peranan dan memberikan perhatian serius supaya golongan tersebut tidak terus hanyut dengan apa yang mereka lakukan.

“Realitinya fenomena menukar jantina dalam masyarakat kita tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

“Kewujudan kumpulan ini semakin menyerlah dalam masyarakat kita. Ini telah dibuktikan melalui laporan media massa dan elektronik.

“Sekiranya gejala ini tidak ditangani dengan berhemah, maka dikhuatiri ia akan merebak menjadi masalah sosial yang lebih serius.

“Akibatnya, akan memberikan kesan yang buruk terhadap masyarakat dalam pelbagai aspek seperti agama, kesihatan, sosial dan lain-lain,” kata teks itu.

Mimbar berkata, perkara itu semakin membimbangkan apabila terdapat persatuan-persatuan yang menuntut hak mereka dalam undang-undang supaya menghalalkan perbuatan mereka.

“Anehnya, ada yang menyokong dan mempertahankan perbuatan tersebut. Mereka memperjuangkan hak yang sama tanpa halangan untuk menjalani kehidupan yang sama seperti orang lain, terutamanya hak kebebasan dan berkahwin.

“Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pengaruh media massa dan media elektronik yang semakin canggih tanpa sempadan dan kawalan,” katanya.