MB 'gagal dihubungi', hala tuju Perak jadi tanda tanya
Sudah hampir dua minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan hampir seminggu Muhyiddin Yassin secara rasmi menjadi perdana menteri kelapan Malaysia.
Johor sudah bertukar tangan, Melaka semakin hampir - kecuali berlaku lagi perkara melompat parti - untuk mengalami nasib sama.
Kedah dapat difahami bertahan lagi kerana kedudukan menteri besar dipegang oleh anak Dr Mahathir Mohamad.
Namun Perak seakan-akan tidak berada dalam radar pemerhati tegar politik. Bersatu mempunyai kedudukan sangat istimewa di Perak.
Hasil pilihan raya umum (PRU) ke-14, Ahmad Faizal Azumu menjadi satu-satunya calon Bersatu yang berjaya mendapat tempat dalam DUN Perak. Itu pun menang kerusi DUN Chenderiang dengan kelebih 39 undi saja.
Namun atas semangat kerjasama dan persefahaman PH, Ahmad Faizal - yang dipanggil Peja oleh kebanyakan orang - dilantik menjadi menteri besar.
Dua puluh lapan Adun lain - termasuk DAP yang memiliki 18 kerusi - sepakat memberi sokongan.
Sahabat dunia akhirat
Dengan perubahan kerajaan ekoran 'Langkah Sheraton', sepatutnya Perak menjadi negeri terawal untuk berpindah milik kepada Umno. Namun sehingga kini keadaan masih belum jelas.
Pada masa sama, Ahmad Faizal dilaporkan 'menghilang' dan gagal dikesan oleh kebanyakan orang.
Menurut sumber banyak pihak cuba menghubungi Adun Chenderiang itu namun gagal. Malah, katanya, difahamkan panggilan telefon daripada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, juga tidak berjawab.
"Mukhriz tu macam sahabat dunia akhirat Ahmad Faizal, pun tak berjawab," kata sumber kepada Malaysiakini.
Sumber itu yang enggan didedahkan identitinya menambah anak bekas exco Perak itu dipercayai sedang berkira-kira sama ada mahu mengalah atau terus mempertahankan kerajaan PH.
"Difahamkan beliau ada berjumpa Mahathir dan pengerusi Bersatu itu menasihatkan Ahmad Faizal kekal bersama PH," katanya.
Seorang sumber lain pula menambah, isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, terkejut apabila mengetahui Ahmad Faizal bertemu Muhyiddin Yassin selepas kerajaan PH jatuh baru-baru ini.
"Siti Hasmah dah anggap Ahmad Faizal tu macam anak sendiri dan beliau rasa terkilan dengan tindakan menteri besar Perak itu.
"Sepatutnya menteri besar pertahankan kerajaan PH dan ambil kira perasaan Mahathir dan Siti Hasmah," katanya.
Pada masa sama, sumber itu memberitahu, usaha memujuk sedang giat dijalankan melalui pihak tertentu yang dipercayai mempunyai akses kepada Ahmad Faizal.
Terlalu mengepung
Katanya, nasib kerajaan PH Perak kini banyak bergantung kepada sikap Ahmad Faizal serta dua Adun lain yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Sumber dalam Bersatu itu juga menambah, krisis yang berlaku sejak akhir Feb lalu juga membawa 'rahmat' tersendiri buat parti itu dan Ahmad Faizal.
"Menteri besar dan pegawai-pegawai beliau perlu mengambil iktibar agar lebih mesra dengan pihak akar umbi, penyelaras DUN yang dilantik serta ahli parti.
"Sebelum ini penyelaras DUN atau pemimpin Bersatu peringkat bahagian dan cawangan selalu terpaksa mengadu kepada exco dari Amanah, DAP dan PKR.
"Nasib baik mereka sangat membantu dan melayan kami," katanya yang mendakwa, hanya ada sekali dapat berjumpa Ahmad Faizal sejak kira-kira 22 bulan lalu.
Kata sumber itu, sesetengah pegawai Ahmad Faizal terlalu 'mengepung' menteri besar berkenaan daripada berjumpa pemimpin akar umbi atau menyalurkan maklumat yang kurang tepat.
"Jadi apa yang berlaku sekarang sepatutnya dijadikan titik untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran.
"Sebab itu kami masih memujuk beliau untuk kekal bersama PH," katanya.
Sementara itu sumber dari Pejabat Menteri Besar Perak memberitahu Malaysiakini, sehingga hari ini kerajaan negeri masih dalam keadaan status quo.
"Hal-hal pentadbiran kerajaan negeri juga berjalan seperti biasa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai