Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Lebih banyak kes baru dalam gelombang kedua

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gelombang kedua Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang melanda Malaysia menyaksikan kes setakat petang ini meningkat kepada 83.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada 83 pesakit itu, 65 orang rakyat Malaysia dan 15 oang warga negara China dan tiga orang daripada negara lain.

Daripada jumlah itu, 22 kes yang digolongkan sebagai gelombang pertama sudah sembuh dan discaj. Kes pertama COVID-19 di Malaysia dilaporkan pada 25 Jan 2020.

Menurut kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 4 Mac, gelombang kedua ini dilaporkan bermula 27 Feb selepas 11 hari tiada kes baharu dicatat.

Sehingga 4 Mac, terdapat 28 kes positif COVID-19 (kes ke-23 hingga ke-50) dan satu (1) kluster COVID-19 dikenalpasti, dikaitkan dengan kes positif ke-26, iaitu pegawai kanan Khazanah Nasional Berhad dan UDA Holdings Berhad. Beliau kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang dijalankan sehingga kini, seramai 215 kontak rapat pesakit ke-26 sudah dikesan. Daripada jumlah tersebut, 18 kes dikesan positif COVID-19.

Turut dilaporkan seorang ahli Lembaga Pengarah Felcra Bhd disah positif COVID-19 dan kes beliau adalah antara 36 kes yang dilaporkan KKM minggu ini. Semua kakitangan Felcra di ibu pejabat diarah bekerja dari rumah sehingga Jumaat 6 Mac untuk membolehkanoperasi pembersihan sanitasi dijalankan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan pada Khamis 5 Ma, sekatan sementara pelawat dari tiga negara, berkuat kuasa serta merta.

Sekatan itu membabitkan pelawat dari bandar dan negara seperti Jepun (Hokkaido), Itali (Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna) serta Iran (Tehran, Qom dan Gilan).

Menurut beliau, pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke bandar dan negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Pada 28 Feb lalu, Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Korea Selatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Sekatan itu turut membabitkan warga asing yang pernah berada di Daegu dan daerah Cheongdo.

SITUASI GLOBAL COVID-19

Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia seperti tertera di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga pukul 8:00 pagi 6 Mac, yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) adalah seperti berikut:-

Jumlah keseluruhan kes, 97,901 dengan melibatkan 85 buah negara . Jumlah kematian keseluruhan pula 3,348.

Jumlah kes di China, 80,581 dengan kematian 3,074 orang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat medianya pada 3 Mac di Geneva, Switzerland memberi pencerahan mengenai COVID-19 yang disifatkan sebagai virus yang unik dengan ciri-ciri yang juga unik.

Beliau menggariskan beberapa perbezaan antara COVID-19 dan influenza (flu), antara yang ketara ialah COVID-19 boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding flu yang bermusim.

Ramai orang di seluruh dunia mempunyai sistem imun untuk melawan virus flu yang bermusim tetapi COVID-19 adalah virus baharu yang tiada orang mempunyai kekebalan. Ini bermakna lebih ramai orang boleh dijangkiti dan ada yang akan menderita penyakit yang teruk.

Menurut beliau, di peringkat global kira-kira 3.4 peratus kes COVID-19 berakhir dengan kematian berbanding dengan penyakit flu yang membunuh kurang daripada 1 peratus mereka yang dijangkiti.

KES TERUS MENINGKAT

Tiga buah negara kini mencatat kenaikan mendadak kes COVID-19 yang menjadi kebimbangan WHO iaitu Korea Selatan, Itali dan Iran.

Korea Selatan: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada 3 Mac mengisytiharkan "perang" terhadap COVID-19 apabila kes virus itu melebihi 5,000.

Setakat Jumaat 6 Mac sebanyak 196 kes baru dicatat, menjadikan jumlah 6,284 , demikian menurut Korea Centers for Disease and Control and Prevention. Angka kematian setakat ini 42 orang.

Pihak berkuasa negara itu juga mengisytiharkan Gyeongsan, sebuah bandar dengan kira-kira 275,000 penduduk dan terletak 250 km ke tenggara Seoul, sebagai "zon penjagaan istimewa".

Kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 61 tahun yang mengunjungi Shincheonji Church of Jesus di selatan bandar Daegu. Wanita ini dilaporkan masih ke gereja berkenaan beberapa kali ketika mengalami demam.

Daegu adalah bandar keempat terbesar di Korea Selatan dengan penduduk seramai 2.5 juta.

Itali: Semua sekolah dan universiti di Itali diarah tutup bermula 4 Mac hingga 15 Mac. Itali melaporkan 3,858 kes COVID-19 dan 148 kematian.

Perdana Menteri Giuseppe Conte juga mengharamkan orang ramai menghadiri sebarang acara sukan bagi mengelakkan jangkitan. Dilaporkan pertandingan bola sepak profesional dan acara sukan besar yang lain akan berlangsung tanpa kehadiran peminat sehingga 3 April.

Iran: Jumlah kes COVID-19 di Republik itu setakat 5 Mac, 3,513 dengan 107 kematian.

Presiden Republik Islam Iran, Hassan Rouhani dilaporkan berkata wabak COVID-19 merebak ke seluruh wilayah Iran. Tehran dan Qom mencatat rekod pesakit virus itu yang terbanyak, dengan masing-masing 253 dan 101 kes baharu. Bandar Qom yang terletak di selatan Tehran adalah pusat merebaknya COVID-19 dan di mana kematian pertama dilaporkan pada 19 Feb.

Sekolah diarah tutup dan acara kebudayaan serta sukan juga digantung sementara waktu bekerja juga dipendekkan.

Sepasukan pakar WHO tiba di Tehran pada 2 Mac untuk membantu usaha menangani wabak COVID-19 di Republik Islam itu.

Jepun: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dilaporkan Rabu 4 Mac cuba mendapat persetujuan pemimpin pembangkang untuk meminda undang-undang 2013 yang dibuat bagi menangani pandemik wabak influenza.

Blok pemerintah mahu meminda undang-undang itu secepat minggu depan supaya ia dapat digunakan untuk COVID-19 yang sudah menjangkiti lebih daripada 1,000 orang di seluruh Jepun.

Wabak itu dikhuatiri akan menjejaskan persediaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung lewat Julai depan.

Arab Saudi setakat ini mencatat lima kes COVID-19. Kes pertama dilaporkan pada Isnin 2 Mac.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan Rabu, melarang buat sementara rakyat dan penduduk tetap negara itu melakukan ibadah umrah susulan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum itu menggantung sementara visa umrah dan melarang ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

Turut digantung sementara visa pelancongan untuk negara yang berdepan dengan wabak COVID-19.

Indonesia mengesahkan kes pertama COVID-19. Presiden Joko Widodo mengumumkan pada Isnin 2 Mac, dua orang rakyatnya positif dijangkiti virus itu dan kedua-dua orang pesakit sedang dirawat di hospital.

Switzerland mencatat kematian pertama COVID-19. Laporan AFP 5 Mac menyebut mangsa adalah seorang wanita warga emas berusia 74 tahun. Beliau dimasukkan ke hospital pada Selasa 3 Mac dan meninggal dunia Khamis 5 Mac. Switzerland setakat ini mencatat 58 kes sejak kes pertama dikesan pada 25 Feb.

Sementara itu, kes wabak COVID-19 di luar China, menurut statistik yang di laman sesawang KKM setakat pukul 8 pagi 5 Mac, adalah seperti berikut:

Korea Selatan (6,088), Itali (3,858), Iran (3,513), Jerman (482), Perancis (377), Jepun (360), Sepanyol (259), Amerika Syarikat (221), Singapura (117), United Kingdom (115) Switzerland (114), Sweden (95), Norway (87), Belanda (82), Kuwait (58), Australia (55), Malaysia (55), Belgium (5), Thailand (47), Kanada (47), Austria (41), Iraq (35), Iceland (34), Greece (31), India (30), UAE (29), San Marino (21), Vuetnam (16), Lubnan (16), Israel (16), Oman (16), Equador (13), Finland (12), Algeria (12), Republik Czech (12), Denmark (10), Croatia (10), Qatar (8), Portugal (8), Romania (6), Azerbaijan (6), Belarus (6), Ireland (6), Mexico (5), Pakistan (5), Arab Saudi, Rusia (4), Georgia (4), Brazil (4), Palestin (4), Senegal (4), Chile (4), Filipina (3), Mesir (3), New Zealand (3), Estonia (3), Saint Barthelemy (3), Indonesia (2), Hungary (2), Maghribi (2), Slovenia (2), Bosnia Herzegovina (2).

Negara-negara berikut setakat ini mencatat satu kes:-

Kemboja, Nepal, Sri Lanka, Afghanistan, Macedonia Utara, Lithuania, Luxembourg, Monaco, Andorra, Nigeria, Armenia, Maghribi, Republik Domanica, Argentina, Jordan, Ukraine, Tunisia, Afrika Selatan, Gibraltar, Poland, Liechtenstein, Kepulauan Faroe, Latvia.

-----------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. 

- Bernama