Skip to main
Logo Malaysiakini

Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun dilantik AG baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Mahkamah Persekutuan Idrus Harun sebagai peguam negara yang baru.

Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Idrus akan berkhidmat selama dua tahun berkuat kuasa pada hari ini.

Beliau menggantikan Tommy Thomas yang meletak jawatan pada minggu lalu.

Idrus dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada November 2018. Beliau juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun.

Sebelum itu, Idrus pernah menjadi peguam cara negara di Pejabat Peguam Negara (AG) dan penasihat undang-undang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada Jun 2018, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mencadangkan Idrus sebagai peguam negara yang baru.

Menurut Sri Ram ketika itu, seseorang yang akan menjadi peguam negara yang baik perlu memahami memahami kerja-kerja di Pejabat Peguam Negara dan Idrus telah berada di sana selama bertahun-tahun sebelum diketepikan AG sebelumnya, Mohamed Apandi Ali.

"Idrus seorang yang baik, jika tidak saya akan cadangkan orang lain, tetapi ketika dalam kehakiman beliau bertindak seperti peguamcara negara, jadi saya rasa beliau layak," kata Sri Ram.

Idrus juga antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi ketua hakim negara pada tahun lalu, tetapi Tengku Maimun Tuan Mat dipilih ke jawatan itu.

Selaku hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus antara salah seorang panel hakim yang menolak permohonan masyarakat Iban dari dua buah kampung di Sarawak untuk menyemak semula keputusan bahawa Hak Tanah Adat mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang di negeri itu.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Idrus, Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan majoriti manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah menentang.

Idrus juga antara empat hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, yang memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa dan sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah’.