Skip to main
Logo Malaysiakini

Mengapa parti kiri sering gagal dalam pilihan raya?

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah menang dalam banyak perjuangan akar umbi, namun rekod dalam pilihan raya umum (PRU) amat mengecewakan. Oleh itu, wujudnya ejekan yang mengatakan PSM parti hilang deposit dan parti nyamuk, seolah-olah memberi pesanan jelas bahawa PSM tidak relevan dalam arena pilihan raya.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Muhammad Febriansyah (USM) dan Sharifah Nursyahidah Syed Annuar (UKM) mengenai “parti-parti politik kiri dalam pilihan raya umum ke-14”, mereka telah merumuskan bahawa keputusan PRU-14 memang tidak memihak kepada parti-parti kiri seperti PSM dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) kerana semua calon yang bertanding kehilangan deposit.

Namun, penyelidik ini berpandangan bahawa keputusan PRU yang tidak memihak kepada parti kiri bukannya disebabkan penolakan sepenuhnya terhadap idea dan ideologi parti kiri di Malaysia. Ini juga kerana bagi parti kiri, penglibatan dalam pilihan raya bukan satu-satunya cara untuk mencapai cita-cita politik.

Bagaimanapun, setiap kali timbulnya demam PRU atau pilihan raya kecil (PRK), pasti terdapat segelintir rakyat yang begitu ghairah untuk memujuk PSM supaya meletakkan calon, dan mereka selalu mempunyai satu andaian bahawa mood rakyat sekarang bagus untuk PSM bertanding.

Kami telah melalui detik ini beberapa kali, dan apabila kami kalah, maka ia akan berakhir dengan sesetengah ahli berputus asa dan sebahagian lagi sudahpun menjangkakan keputusan sebegitu.

Kenapa PSM tak boleh menang pilihan raya?

Pada hakikatnya, rakyat kena sedar bahawa dalam demokrasi borjuis, pilihan raya adalah pertandingan antara dua parti dominan, iaitu sebelum ini adalah BN dan Pakatan Harapan, sementara sekarang pula antara PH dan Perikatan Nasional (PN). Kedua-dua parti besar ini disokong oleh tauke-tauke kaya.

Tauke-tauke besar ini bersedia membiayai kos pilihan raya untuk parti-parti besar ini, kerana sekiranya kuda tunggangan mereka menang, maka dapatlah mereka terus menunggang kuda itu menuju ke arah yang diingini untuk mencapai matlamat dan aspirasi tauke-tauke besar. Inilah lumrah politik pilihan raya borjuis, pilihan raya menjadi satu urus niaga yang besar dan menjanjikan pulangan lumayan untuk golongan berkuasa.

Adakah kita lupa tentang bagaimana bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia menerima wang sejumlah RM2.6 bilion daripada Putera Saudi. Ia dikatakan derma yang digunakan untuk kempen pilihan raya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan, pula pada Januari lalu, mengaku bahawa pernah meminta sumbangan politik daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada tahun 2016. Jadi, adakah golongan kapitalis ini menyumbang wang tanpa sebarang “deal” atau syarat yang terikat.

Untuk bertanding satu kerusi parlimen memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000. Biasanya parti besar akan membelanjakan hampir RM 300,000 hingga setengah juta ringgit untuk satu kawasan pilihan raya. Justeru jika PSM mengambil satu langkah untuk bertanding semua kerusi parlimen, maka PSM akan memerlukan sebanyak RM11 juta, dan ini tidak termasuk lagi wang deposit yang lebih kurang RM 3.3 juta.

Maka, rakyat kena sedar bahawa adalah mustahil untuk PSM bertanding banyak kerusi kerana tidak akan mampu berbuat demikian. PSM juga sebuah parti yang cukup berprinsip. Terdapat dasar dalam PSM yang menyatakan bahawa PSM tidak boleh mencari sumbangan daripada korporat besar kerana PSM tidak mahu menjadi tali barut kapitalis-kapitalis ini.

Itulah sebabnya dalam banyak kes yang melibatkan kapitalis dan rakyat biasa, PSM dengan beraninya dapat bersama rakyat untuk melawan syarikat besar dan kapitalis maha kaya berbanding dengan banyak parti politik yang lain. Banyak parti aliran utama sudah berkompromi dengan golongan kapitalis besar dan mempunyai kepentingan yang tersirat untuk dilindungi.

Mengapa undi parti yang hanya bertanding beberapa kerusi?

Ini menyebabkan PSM terpaksa hanya bertanding dalam beberapa kerusi sahaja. Apabila PSM hanya bertanding untuk beberapa kerusi, iaitu mungkin kurang daripada 5 peratus keseluruhan kerusi, para pengundi tidak akan mengundi PSM kerana beranggapan bahawa PSM tidak akan membentuk kerajaan, maka mengapa mereka perlu membazirkan undi mereka kepada sebuah parti yang tidak boleh membentuk Kerajaan Pusat atau Negeri.

Inilah dilema rakyat yang tidak mahu melabur dalam parti kecil yang sering juga dilabel sebagai parti kacau daun atau parti pecah undi.

PSM juga tidak diberi peluang untuk bertanding satu lawan satu.

Memandangkan PSM mempunyai ideologi yang berbeza daripada parti-parti arus perdana, maka adalah amat sukar untuk dua parti besar memberikan laluan kepada PSM bertanding. Golongan kapitalis suka untuk menukar satu parti prokapitalis dengan satu lagi parti yang juga prokapitalis. Pada awalnya, rakyat mengharapkan peralihan kuasa daripada pemerintahan BN kepada PH akan membawa kepada perubahan sistem tetapi selepas satu tahun, ramai yang sudah mula melabelkan PH sebagai BN 2.0.

Parti-parti politik aliran utama juga tidak mahu memberikan seinci tempat kepada PSM bertanding kerana tidak mahu PSM mendapat sebarang pengaruh pada masa depan. Maka, mereka akan memberi alasan seperti nama Sosialis tidak boleh diterima rakyat dan sebagainya.

Namun, sebab utama adalah kegerunan mereka dan kebimbangan mereka terhadap ideologi sosialis yang prorakyat. PSM juga tiada kapasiti untuk membeli undi seperti yang dilakukan oleh parti-parti lain. Mahathir sendiri pernah melabel kumpulan yang menuntut pelaksanaan manifesto yang prorakyat dalam PH sebagai golongan berideologi sosialis.

Sia-sia parti kiri masuk pilihan raya?

Ini tidak semestinya benar. Sejarah menunjukkan bahawa golongan kiri seperti PSM memang pada satu ketika dahulu merupakan kuasa politik yang kuat, malah merupakan pembangkang yang paling kuat dalam negara.

Namun demikian, golongan dan parti kiri yang pernah menjadi jaguh perjuangan petani dan pekerja pada masa dahulu telah dihancurkan sedikit demi sedikit oleh parti pemerintah atau parti prokapitalis atau propenjajah, dengan menggunakan akta zalim seperti Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa). Ramai pemimpin parti kiri telah ditahan polis dan parti-parti kiri yang kuat ini juga dibubarkan melalui cara yang tidak sah dan tidak demokratik.

Pada satu ketika dahulu, hampir semua pilihan raya majlis perbandaran dimenangi atau disapu bersih oleh parti kiri seperti Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Progresif Rakyat. Oleh yang demikian, pilihan raya kerajaan tempatan telah digantung pada tahun 1965 dan kemudiannya dimansuhkan.

Pada tahun 1946 pula, gabungan Putera-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya) menjadi gabungan politik yang paling kuat dan berpengaruh sehingga menggugat kepentingan penjajah dan syarikat-syarikat British di Tanah Melayu. Ekoran daripada itu, demi menjaga kepentingan penjajah, pihak imperialis British memilih Umno untuk menjadi kerajaan.

Darurat juga diistiharkan pada tahun 1948 untuk menghancurkan parti-parti yang bergabung dalam Putera-AMCJA. Lebih 300 buah organisasi dan kesatuan yang progresif telah diharamkan dan dibubarkan, termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Barisan Tani Malaya, Hizbul Muslimin dan New Democratic Youth League.

Selepas kemerdekaan, untuk satu dekad, Barisan Sosialis yang dianggotai oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat telah menjadi parti politik nasional yang besar. Dalam pilihan raya tahun 1959, Barisan Sosialis menjadi pembangkang utama dengan Ahmad Boestamam, iaitu pengerusi Barisan Sosialis, muncul sebagai ketua pembangkang.

Namun, beliau telah dipenjarakan semasa menjadi ketua pembangkang pada 13 Februari 1963. Pengaruh parti kiri dan kemenangan parti kiri dalam pilihan raya berakhir apabila Parti Buruh dibubarkan oleh pemerintah dan ramai pemimpin mereka ditahan bawah Isa. Parti Rakyat juga terus digasak dengan teruk. Kesempatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia tahun 1963-1966 digunakan untuk menghancurkan golongan kiri.

Dengan berakhirnya pengaruh parti-parti kiri, maka wujudlah parti-parti baru selepas Darurat 1969 dan pengenalan Dasar Ekonomi Baru. Sejak itu sehingga hari ini, politik kita bertukar agenda dari politik kelas kepada politik perkauman. Parti-parti seperti DAP, PAS dan Umno-BN terus mempermainkan sentimen kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Penghakisan terhadap ideologi politik kelas menyebabkan cabaran untuk PSM begitu hebat kerana terpaksa berjuang belayar dalam lautan politik kaum dan agama. Pihak pemerintah mengambil tempoh masa 10 tahun untuk mendaftar PSM, kerana mereka khuatir bahawa ideologi politik kiri masih boleh menggugat kedudukan mereka dan memenangi hati rakyat.

PSM boleh menang jika rakyat menaja PSM

Kepada semua rakyat yang suka pada politik PSM, jika mahu PSM berjaya, maka perlu memberi sumbangan untuk memantapkan lagi usaha PSM membina politik alternatif dari bawah. Hanyalah melalui sumbangan rakyat, PSM baru dapat berkembang besar dan menjadi kuat.

Andai kata adanya gelombang mood untuk PSM bertanding, maka ia hanya boleh direalisasikan jika rakyat dapat membiayai dan menampung kempen PSM, kerana PSM tidak akan sekali-kali meminta sedekah daripada golongan korporat besar untuk bertanding.

Pada hari ini, rakyat di Amerika Syarikat, sebuah negara yang disifatkan sebagai jaguh dunia kapitalis, telah digugat oleh seorang calon presiden daripada Parti Demokratik yang berpegang pada ideologi sosialis yang demokratik.

Kempen pilihan raya Bernie Sanders hari ini dibiayai oleh rakyat biasa. Bernie juga berazam untuk mencukai golongan maha kaya dan mengagih semula kekayaan masyarakat melalui program-program yang pro-rakyat. Kempen beliau mendapat sokongan daripada tenaga anak muda yang ramai.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk rakyat menolak politik elitis. Rakyat biasa harus menjadi ahli atau aktivis PSM.

Kepada para pekerja yang bekerja di kilang dan sektor informal, termasuk sektor ekonomi gig, jika anda memerhati semua parti politik, anda pasti akan mendapati bahawa hanya parti PSM sahaja yang propekerja dan prorakyat biasa. PSM merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk meningkatkan gaji minimum, menurunkan harga rumah dan menuntut sistem kesihatan dan pendidikan yang berkualiti dan mampu untuk rakyat Malaysia.

Maka sertailah PSM. Jadikan PSM kuat. Biayai kempen PSM kerana kemenangan kami akan memastikan rakyat pekerja, petani dan golongan marhaen dapat dilindungi.

Kepada anak muda yang muak dengan politik parti yang elitis, sertai kami dalam kempen-kempen melawan sistem neo-liberal dan kempen mengisytihar darurat iklim.

Untuk melawan sistem kapitalis, kita perlu berorganisasi secara tersusun dan dari bawah. PSM percaya pada politik gabungan yang menyatukan kekuatan rakyat dan bersedia bergabung tenaga dengan golongan progresif.

PSM mampu mengembalikan kegemilangan parti kiri dan boleh menjadi alternatif kuat dalam pilihan raya. Kami berharap anak-anak muda yang membaca rencana ini, sila mengikuti kami di laman web rasmi PSM http://partisosialis.org atau http://Sosialis.net dan anda boleh menjadi ahli PSM dengan mengisi borang keahlian di sini.


S ARUTCHELVAN ialah timbalan pengerusi PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.