Skip to main
Logo Malaysiakini

Makna Hutan Simpan Kuala Langat buat Orang Asli

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Memandu ke Kampung Busut Baru, anda pada mulanya akan disambut satu demi satu projek perumahan mewah.

Semua projek ini 'menjual' satu ciri yang serupa - kelebihan hidup dekat dengan alam sekitar tetapi pada masa sama tidak terlalu jauh dengan bandar raya seperti Shah Alam, Putrajaya dan Subang Jaya.

Bagaimanapun tidak jauh daripada kediaman berpagar mewah ini, masyarakat Orang Asli Temuan bimbang mereka bakal kehilangan kawasan hutan yang sangat dihargai mereka, demi memberi laluan kepada projek pembangunan yang serupa.

Malaysiakini berkunjung ke kampung Orang Asli di sana pada tengah hari Jumaat.

Kanak-kanak sudah pun menukar seragam sekolah untuk bermain di luar, orang lelaki pula mengayuh basikal menuju ke ladang untuk mengait buah kelapa sawit.

Kampung ini cukup dengan kemudahan asas seadanya. Untuk 85 keluarga, dengan kira-kira 600 orang, ia dilengkapi padang, sekolah, tadika, dewan komuniti, jalan bertar, serta bekalan air dan elektrik.

Banyak kawasan di kampung terletak bersebelahan dengan pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Utara, yang menjadi tempat untuk Bonet Baba, 70 tahun, memetik sayuran untuk makan malam atau buluh untuk kegunaan.

Ada kala dia ke sana untuk memetik tumbuhan herba seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali atau apa yang dipanggil mereka sebagai Tunjang Bumi, untuk keluarga dan penduduk yang memerlukan.

"Biasanya kami rebus herba, daun dan akarnya sekali, untuk diminum perempuan yang baru beranak.

"Tumbuhan ini hanya ada dalam hutan saja kerana keadaannya yang sejuk," katanya ketika ditemui Malaysiakini di sebuah kedai di kampung itu.

Bonet Baba

Selain menjadi tempat mencari sumber, hidup di samping pokok-pokok di hutan simpan mengingatkannya kepada kampung lamanya - Kampung Busut.

"Masuk tengok suasana hutan, rasa macam kampung lama. Kampung lama kan banyak hutan," katanya mengimbas kembali.

Pada 1993, masyarakat Kampung Busut terpaksa berpindah daripada tempat tinggal asal mereka di Sepang - di mana mereka hidup selama banyak generasi - untuk memberi laluan kepada pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan memberikan mereka tanah seluas 1,000 ekar di satu kawasan yang terletak kira-kira 40 km dari situ sebagai pampasan. Dan disitulah mereka tinggal sehingga hari ini.

Bercakap tentang kampung lamanya, Bonet hampir mengalirkan air mata. Dia menyatakan kekesalannya kerana tidak akan dapat menunjukkan tempat tinggalnya kepada lima cucunya.

Tunjang Bumi

Dia bagaimanapun sekurang-kurangnya dapat mewariskan pengetahuan tentang hutan apabila membawa mereka ke hutan simpan itu.

Maka dia berharap kerajaan Selangor akan menimbang semula cadangan untuk membatalkan pewartaan hutan simpan terhadap 97.1 peratus (930.93 hektar) kawasan hutan itu untuk projek pembangunan bercampur.

Lepas terbakar, lahir semula

Sebelum ini Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mencadangkan kawasan itu dibangunkan kerana menurutnya 40 peratus kawasannya sudah menjadi hutan rosot akibat kebakaran yang pernah berlaku.

Dia juga berkata hutan simpan itu berdepan risiko kegiatan pembakaran haram dan memberi ancaman kepada projek perumahan yang bakal dibina di sekitarnya.

Bagi Tok Batin Kampung Busut Baru Sari Senin, dia melihat hutan itu kembali 'hidup semula' selepas kebakaran yang berlaku pada 2015.

Kumpulan alam sekitar seperti Global Environmental Centre (GEC) telah bekerjasama dengan pelajar dari sekolah di kampung itu untuk menganjurkan program rehabilitasi hutan di mana pokok-pokok ditanam semula.

"Sudah lima tahun tak ada kebakaran," kata Sari kepada Malaysiakini.

Sari Senin

Sari yang masuk ke hutan simpan beberapa kali seminggu, berkata di pernah melihat tupai pigmi, beruang madu, tapi dan malah harimau kumbang di dalamnya.

Sebagai hutan paya gambut, dan Sari menegaskan ia banyak membantu untuk mengelakkan kampung mereka dilanda banjir ketika hujang lebat.

"Kalau kawasan dibangunkan dan permukaannya ditutup, di mana air hujan akan pergi?

"Pastinya air akan turun di kawasan kampung," katanya lagi.

Tambahan pula, katanya, haiwan liar juga akan masuk ke kampung dan menjadi ancaman kepada penduduk jika hutan itu dibangunkan.

Aniza Gang

Malaysiakini kemudian dibawa oleh Aniza Gang ke kawasan hutan simpan yang terjejas akibat kebakaran lima tahun lalu.

Wanita berusia 28 tahun itu menunjukkan pokok-pokok Mahang yang meninggi dengan dahan dan daun yang membentuk kanopi, melindungi tumbuhan di bawah daripada sinaran matahari secara terus.

"Saya tak rasa ini hutan rosot.

"Hutan dulu yang terbakar pun sekarang nampak bersemangat. Sudah nampak anak-anak pokok dulu sudah membesar," katanya.

Aniza (bawah) hanya berusia setahun ketika keluarganya berpindah dari kampung lama. Inilah satu-satunya hutan yang dikenalinya dan sejak kecil lagi sering ke hutan bersama-sama ibu bapanya.

Buka mata nampak pokok, bukan konkrit

Sebelum ini, Amirudin memberi jaminan bahawa cadangan pemansuhan status hutan simpan tidak akan menjejaskan mana-mana kampung Orang Asli serta kawasan rayau mereka.

Ia bagaimanapun gagal meyakinkan masyarakat Orang Asli, dan empat kampung - termasuk Kampung Busut Baru - telah bersama-sama membantah rancangan itu.

Semalam (5 Mac) adalah hari terakhir untuk para pemegang taruh menghantar maklum balas daripada sesi pendengaran awam rancangan itu, dan NGO Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor memberitahu The Malaysia Insight bahawa pihaknya sudah menghantar sejumlah 13,000 surat bantahan.

Selepas ini Jabatan Perhutanan Selangor akan menilai semua maklum balas dan menggabungkannya kepada satu laporan untuk dihantar kepada kerajaan negeri. Sesi bersama pemegang taruh akan diadakan kemudian.

Sari sendiri telah menghantar dua surat bantahan bagi pihak kampungnya, menegaskan bantahan mereka kepada projek pembangunan bercampur dan juga cadangan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melalui sebahagian kawasan kampung.

ECRL sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mahu "mengelak" pembatalan status hutan simpan dan lebih cenderung untuk memohon permit pengguna untuk menggunakan sebahagian daripada kawasan yang dilindungi itu.

Selain kembimbangan bahawa pembatalan status akan memberi kesan kepada kehidupan dan keselamatan Orang Asli, Sari juga tidak mahu lima anaknya membesar dalam 'hutan konkrit'.

Berjauhan dengan hutan akan menghakis identiti Temuan mereka.

"Apabila mereka sudah besar nanti, mungkin mereka tak akan selalu tengok hutan.

"Bila bangun dari tidur, mereka hanya tengok batu-batu," katanya lagi.

[Baca berita asal]