Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Jangkitan di seluruh dunia cecah 100,000

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jumlah orang yang dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia telah melepasi 100,000 pada hari Jumaat, lapor Reuters.

Agensi berita antarabangsa itu juga melaporkan kesan mudarat terhadap ekonomi juga semakin meningkat, dengan daerah perniagaan mula lengang dan pasaran saham jatuh merudum.

Menurut Reuters, sebilangan besar orang perlu menghadapi realiti baru kerana ramai yang diminta untuk tinggal di rumah dari ke tempat kerja, sekolah ditutup, perhimpunan dan acara besar dibatalkan, kedai-kedai kehabisan peralatan mandi dan air minuman, serta topeng muka menjadi hal yang biasa.

Di London, Reuters melaporkan daerah Canary Wharf yang menjadi pusat kewangan Eropah kelihatan sepi, manakala HSBC meminta 100 kakitangannya untuk bekerja dari rumah selepas seorang pekerja positif Covid-19.

Di New York pula, firma perbankan JP Morgan membahagikan pasukannya antara lokasi pejabat pusat dan pejabat keduanya di New Jersey.

Wabak itu, yang telah mengorbankan lebih daripada 3,300 nyawa di seluruh dunia, telah merebak di seluruh Amerika Syarikat, menjangkau sekurang-kurangnya empat negeri baru, selain San Francisco.

Langkah beberapa negara kuasa ekonomi utama termasuk Amerika Syarikat untuk mengurangkan kadar faedah dan menjanjikan berbilion-bilion dolar untuk memerangi wabak itu tidak banyak meredakan kebimbangan mengenai penularan wabak itu, lapor Reuters lagi.

Terdapat juga kebimbangan lumpuhnya rangkaian bekalan barangan di seluruh dunia, khususnya di China.

Dalam perkembangan berkaitan, Al Jazeera melaporkan sebagai langkah berjaga-jaga, Arab Saudi telah mengeluarkan larangan mengerjakan umrah, Iran membatalkan solat Jumaat dan umat Islam Singapura digesa membawa sejadah sendiri ke masjid dan surau.

Lebih 100,000 orang telah dijangkiti Covid-19 di lebih 85 negara, menurut kiraan Reuters berdasarkan kenyataan daripada kementerian kesihatan dan pegawai kerajaan seluruh dunia.

Di China, negara wabak itu bermula, telah menyaksikan lebih daripada 3,000 kematian, tetapi wabak itu kini pantas menyebar ke tempat lain.

Sekurang-kurangnya 148 orang maut di Itali, yang mengalami wabak terburuk di Eropah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia minggu ini berkata kira-kira 3.4 peratus kes koronavirus baru yang dikenali sebagai Covid-19 telah meninggal dunia, jauh melebihi kadar kematian selesema bermusim di bawah 1 peratus.