Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesakit Kes 26 yakin jangkitan Covid-19 tiada kaitan kunjungannya ke Shanghai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pesakit kes 26 yang disahkan jangkitan Covid-19, Hisham Hamdan, yang sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, semalam mengesahkan lawatan beliau ke Shanghai pada Januari tiada kaitan dengan pengesahan positif virus itu.

Hisham, yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad, berkata beliau berada di Shanghai menghadiri persidangan dari 13 hingga 17 Jan, tetapi kes pertama yang direkodkan di Shanghai pada 20 Jan.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau mengelakkan perjalanan ke China pada 25 Jan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi mengisytiharkan situasi coronavirus sebagai darurat kesihatan awam susulan kebimbangan antarabangsa pada 30 Jan.

“Ini semua berlaku selepas saya pulang dari Shanghai,” katanya dalam kenyataan.

“Isu kedua ialah semua penyelidikan saintifik dan perubatan yang kita tahu setakat ini menunjukkan tempoh inkubasi virus itu adalah dua minggu.

“Memandangkan saya pulang pada 17 Jan dan mendapat simptom pada 27 Feb, dan berdasarkan penyelidikan perubatan - tidak mungkin saya mendapat virus itu ketika berkunjung ke Shanghai,” katanya.

Hisham berkata beliau menerima keputusan pertama ujian positif pada 28 Feb dan keputusan positif itu disahkan pada 29 Feb.

“Gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia dikaitkan dengan saya, yang saya fikir jelas. Tetapi dikaitkan dengan saya dan (jangkitan) berasal dari saya adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Hisham berkata beliau ada menghadiri majlis kementerian atas kapasiti sebagai pengerusi UDA pada 27 Feb, tetapi beliau juga menjelaskan tidak menghadiri sebarang majlis politik.

Katanya beliau percaya KKM masih bekerja dengan gigih dan wajar dipuji kerana masih berusaha untuk mengenal pasti Pesakit Sifar.

“Kita perlu memberi sokongan penuh kepada KKM untuk mengenal pasti Pesakit Sifar. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perubatan KKM yang bekerja secara profesional atas khidmat bakti mereka kepada negara.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai agar menggunakan fakta sebelum menyebarkan berita atau pandangan dan menghormati kerahsiaan dan privasi individu yang sedang menjalani pemulihan mereka,” katanya.

Sehingga semalam, KKM mengesahkan 83 kes positif COVID-19 di Malaysia dengan 23 daripada mereka telah keluar hospital.

- Bernama