MH17: Penemuan kotak hitam perkembangan terpenting sepanjang siasatan
MH17 | Kejayaan Malaysia mendapatkan perakam data pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh pemberontak di Donetsk, Ukraine beberapa hari selepas kemalangan tragis itu pada 17 Julai 2014 merupakan perkembangan paling penting sepanjang siasatan, kata Lembaga Keselamatan Belanda.
Dalam sesi taklimat kepada wartawan Malaysia pada Jumaat, penyiasat kanan (penerbangan) Gijsbert Vogelaar berkata perakam data atau kotak hitam itu memainkan peranan penting dalam mengesahkan penemuan mereka mengenai faktor utama kejadian itu.
"Pada mulanya (siasatan), kita terpaksa bekerja tanpa bangkai, tetapi kita mempunyai banyak gambar dan sudah tentu kita mempunyai data radar dan perakam data penerbangan kokpit.
"Oleh itu, berdasarkan semua maklumat itu, kami banyak belajar tentang insiden ini sebelum kami menemukan bangkai kapal,” katanya kepada pemberita semasa sesi taklimat khas di Belanda.
Sekumpulan wartawan Malaysia kini berada di Belanda bagi mengikuti perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang ditembak jatuh di timur Ukraine itu.
"Kami katakan ia sebagai perkara utama kerana kita tidak dapat melihat bangkai kapal itu.
"Bahkan apabila anda dapat melihat bangkai kapal, masih terdapat perakam data yang sangat berharga. Jadi, pihak berkuasa Malaysia, yang menjumpainya kemudian melakukan kerja yang sangat baik untuk mendapatkan perakam itu," tambah Vogelaar.
Menurut penyiasat veteran itu, kotak hitam tersebut mendedahkan bahawa pesawat terbabit tidak mengalami sebarang masalah penerbangan sebelum ia ditembak jatuh.
Tambah Vogelaar, penyiasat masih boleh melakukan siasatan namun mengalami sedikit masalah ekoran ketiadaan perakam tersebut bagi mengesahkan penemuan mereka.
Sementara itu, Ron Smits, yang bertanggungjawab bagi membina semula bangkai pesawat MH17 berkata penyiasat juga dibantu oleh juruterbang dan kakitangan Malaysia Airlines untuk memahami apa yang berlaku di kokpit sebelum kemalangan.
Mereka dipanggil untuk mendengar perbualan di kokpit kerana mereka lebih mengenali mangsa.
Menurutnya, walaupun menghadapi cabaran untuk mendengar suara rakan-rakan mereka yang telah meninggal dunia, namun Smits memuji penyertaan mereka dalam membantu penyiasat memahami apa yang sedang berlaku.
"Ia sukar bagi mereka untuk melakukannya, tetapi mereka melakukan kerja yang baik," katanya.
Pada 22 Julai 2014, kira-kira lima hari selepas kejadian itu, sepasukan pakar dari Malaysia yang diketuai oleh Kolonel Mohamed Sakri dari Majlis Keselamatan Negara Malaysia menerima dua kotak hitam dari pemimpin pemisah kanan Aleksander Borodai dalam upacara yang diadakan di ibu pejabatnya, mengisytiharkan Republik Rakyat Donetsk (DPR).
Sakri memberitahu penemuan kedua-dua kotak hitam itu "dalam keadaan baik". Pemberontak juga telah menyerahkan lebih daripada 200 mayat kepada pasukan penyiasat, yang kemudian membawa mereka ke Belanda untuk dineal pasti.
Untuk rekod, Lembaga Keselamatan Belanda mengetuai penyiasatan antarabangsa berhubung kejadian itu untuk menentukan apa yang berlaku pada penerbangan berkenaan dan punca-puncanya berdasarkan fakta.
Ia merupakan siasatan berasingan yang dijalankan selari dengan siasatan jenayah oleh Pasukan Penyiasatan Bersama, yang turut disertai oleh Malaysia.
Hasil siasatan jenayah itu, tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang dikaitkan dengan DPR akan menghadapi tuduhan menjatuhkan pesawat dan membunuh 298 orang di atas kapal.
Dijangkakan bahawa tiga daripada suspek akan dibicarakan secara absentia, sementara seorang dilaporkan mengampil khidmat peguam Belanda untuk mewakilinya semasa perbicaraan di hadapan kehakiman negeri Belanda di Schiphol.
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Belanda telah mengeluarkan beberapa siri cadangan untuk mengelak kejadian seperti itu berlaku di masa depan, termasuk pengurusan ruang udara di kawasan konflik oleh negara-negara yang menangani konflik bersenjata di wilayahnya, penilaian risiko oleh pengendali penerbangan, dan kebertanggungjawaban pengendali mendedahkan laluan yang mereka pilih ke kawasan konflik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai