Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas 6 tahun misteri MH370 kekal tak terungkai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari ini, 8 Mac 2020, genap enam tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Walaupun lama telah berlalu, dunia masih buntu tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.

Keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu masih menanti pengakhiran episod tragis tersebut.

Penemuan beberapa serpihan sayap dan fiuselaj pesawat itu di Lautan Hindi, berhampiran perairan pantai barat daya Afrika, lebih banyak menimbulkan persoalan mengenai bagaimana pesawat berkenaan boleh menyimpang jauh dari laluan asalnya.

Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang yang berada di dalam pesawat itu, enam tahun merupakan tempoh penantian yang amat menyeksakan apabila tiada jawaban muncul.

Setiap kali ulang tahun kehilangan pesawat terbabit, keluarga dan sahabat akan mengenang nasib mereka yang hilang itu.

Pencarian meluas oleh pelbagai negara dijalankan sejurus selepas pesawat hilang dan pencarian khusus kemudiannya menggunakan peralatan laut dalam yang canggih selama berbulan-bulan juga gagal untuk menemukan bukti yang mencukupi untuk merungkai teka-teki.

Bagaimanapun, terdapat ura-ura pada awal tahun ini, usaha pencarian yang dihentikan itu akan disambung semula beberapa bulan lagi.

Tiada keputusan dibuat

Mengulas mengenai perkembangan terkini, pakar penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata sebarang penyambungan semula pencarian perlu berdasarkan kepada petunjuk baru yang boleh dipercayai, yang kini belum wujud.

"Kita perlu merancang pencarian bukannya memperkatakan (mengenai sentimen) dan terlibat dalam kerja sia-sia.

"Kita tak boleh memberi harapan palsu yang boleh mendatangkan lebih banyak rasa tidak puas hati kepada waris," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Setiap tahun, ada sahaja teori baru muncul mengenai nasib MH370 dan kemudian akan dipatahkan oleh pihak berkuasa, sama ada dari Malaysia, China atau Australia - iaitu pihak yang terlibat dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Sehingga kini, Kementerian Pengangkutan Malaysia juga belum membuat sebarang keputusan untuk memulakan kembali pencarian memandangkan tiada petunjuk baru.

Kementerian juga perlu berunding dengan China dan Australia sekiranya keputusan dibuat untuk melancarkan semula pencarian.

Penyiasat penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff berkata Kementerian Pengangkutan mengambil keputusan tepat apabila tidak menjalankan pencarian tanpa bukti baru.

Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia itu mencadangkan, dalam keadaan semasa mungkin Kementerian Luar boleh bekerjasama dengan pihak sama di Madagascar, La Reunion dan negara-negara barat daya Afrika.

"Negara-negara yang terlibat boleh diminta untuk mengeluarkan notis memberitahu pihak berkuasa tempatan masing-masing di kawasan pantai sekiranya mereka menjumpai sebarang benda yang mungkin dikaitkan dengan pesawat malang itu.

"Ini mungkin membantu mengecilkan kawasan lokasi terakhir pesawat," katanya.

Sementara itu, geostrategis, Azmi Hassan, berkata sebarang usaha pencarian akan melibatkan kos tinggi dan dengan itu perlu ada bukti baru yang cukup kuat untuk membolehkan ia dilakukan.

“Bukti baru yang diuar-uarkan baru-baru ini sebenarnya banyak berlandaskan model arus laut berbeza yang juga digunakan sebelum ini," katanya.

Ringkasnya, tanpa sebarang bukti baru, misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia itu akan kekal tidak terungkai.

- Bernama