Umno Sabah, Melaka dan Perak mahu Zahid ada dalam kabinet Muhyiddin
Beberapa pemimpin Umno negeri menyarankan agar presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, diberi tempat dalam kabinet ketika ia masih belum ditentukan selepas lebih seminggu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Hari ini Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, menyuarakan harapan itu dalam satu kenyataan media.
Kata Bung Moktar Umno Sabah menyokong penuh Ahmad Zahid untuk ahli parlimen Bagan Datuk itu diberi ruang menyertai kabinet.
"Perdana menteri harus berpegang dengan pendirian bahawa seseorang itu masih belum bersalah selagi ia tidak dijatuhkan hukuman.
"Umno sabah berpendapat Muhyiddin harus tidak dilihat double standard di antara presiden Umno dan pemimpin lain.
"Jika Ahmad Zahid (kemudian) didapati bersalah, tidak ada masalah untuk beliau meletak jawatan," katanya.
Untuk rekod Ahmad Zahid kini menghadapi 47 pertuduhan jenayah di mahkamah, dengan 12 daripadanya membabitkan kes pecah amanah dan 27 melibatkan pengubahan wang haram.
Lapan lagi kes melibatkan tuduhan rasuah.
Yakin boleh bersihkan diri
Bung Moktar sendiri kini sedang dibicarakan atas dua tuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta melibatkan agensi kerajaan, Felcra. Turut didakwa ialah isteri beliau, Zizie Izette Samad, yang dituduh bersubahat.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan ke atas pemimpin kanan Umno bermula apabila Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya melalui pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu.
Turut dibawa ke mahkamah ialah bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaiamnapun perubahan kerajaan melalui langkah dibuat Azmin Ali dan rakan-rakannya serta disokong Muhyiddin bersama sebahagian besar wakil rakyat Bersatu menimbulkan keraguan mengenai masa depan serta nasib kes-kes melibatkan tokoh berprofil tinggi tersebut.
Ahmad Zahid sendiri sebelum ini mendakwa pendakwaan ke atasnya bersifat politik.
Semalam Ahmad Zahid menawarkan diri agar tidak dilantik menyertai kabinet. Hal yang sama turut dinyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun menurut kelaziman, pemimpin tertinggi sesebuah parti dalam kerajaan akan diberikan jawatan kanan. Berdasarkan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat pula, jumlah yang dikuasai Umno adalah lebih tinggi berbanding Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.
Baca Hadi tak 'syok' dicalon jadi TPM
Kata Bung Moktar pendakwaan dikenakan ke atas Ahmad Zahid adalah dircancang oleh pemimpin PH.
"Namun Umno Sabah yakin beliau akan dapat membersihkan dirinya di mahkamah nanti," katanya.
Sementara itu semalam Umno Melaka turut memberi gesaan sama kepada Muhyiddin.
Pemimpin bermaruah, berintegriti
Pengerusinya, Ab Rauf Yusoh, berkata Ahmad Zahid belum dibuktikan bersalah di mahkamah.
"Selagi prosiding perbicaraan masih berjalan dan mahkamah belum mensabitkan bersalah, maka beliau tidak seharusnya dianggap bersalah," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu turut senada ialah Pemuda Umno Perak.
Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid, berkata Ahmad Zahid membuktikan beliau adalah pemimpin yang berjiwa besar, berani, bermaruah dan berintegriti.
Katanya, Pemuda Umno Perak berpendapat tidak wajar untuk seorang presiden parti yang memiliki kerusi parlimen terbanyak dalam PN untuk tidak dibawa masuk ke kabinet.
Mohd Ariff juga "mengajak" semua pihak agar berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah belum menjatuhkan hukuman.
"Kebolehan, pengalaman dan kredibiliti Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri sebelum ini boleh dijadikan sandaran.
"Sewajarnya perdana menteri mempertimbang untuk melantik Ahmad Zahid menyertai kabinet atas kapasitinya sebagai presiden Umno," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai