Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam: Had umur kahwin 18 tahun agar remaja fokus pendidikan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini berkata cadangan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun tanpa pengecualiaan akan membolehkan remaja, khususnya golongan perempuan akan memfokuskan kepada aspek pendidikan.

"Kita perlu memperakui bahawa wanita mempunyai peranan tersendiri dalam memperbaiki kesan kemiskinan di kawasan ekonomi rendah yang memberi kesan dan terkesan oleh pendidikan.

"Meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun tanpa pengecualian juga membolehkan remaja untuk lebih fokus kepada pendidikan dan membolehkan mereka mempunyai kebebasan kewangan, maju ke hadapan dan diperkasakan sepenuhnya," katanya dalam suatu kenyataan hari ini bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac.

Pada 19 November lalu, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata hanya tujuh negeri setakat ini yang setuju untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 ke 18 tahun.

Tujuh negeri lagi iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan pula tidak setuju, kata menterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, kementerian itu dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Sementara itu, Suhakam pada hari ini juga berkata wanita mempunyai peranan dalam memperbaiki kemiskinan dan pendidikan di kawasan ekonomi rendah.

Meskipun demikian Suhakam berkata, masih banyak perlu dilakukan berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan markah indeks jurang gender Malaysia ialah 0.727.

Hanya 14.4 % MP terdiri golongan wanita

"Walaupun pencapaian wanita lebih tinggi di peringkat sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi, dan hampir sama dengan lelaki dari segi tahap literasi iaitu pada kadar 96.3 peratus kepada lelaki 97 peratus, secara purata, wanita memperoleh pendapatan sebanyak RM9.32 bagi setiap RM10 yang diperolehi lelaki.

"Hanya 55.2 peratus wanita terlibat sebagai buruh kerja berbanding 80.4 peratus lelaki dan mengisi 33 peratus jawatan tertinggi dan pengurusan, walaupun pada masa kini ia lebih tinggi dari purata keseluruhan dunia iaitu 29 peratus," kata Suhakam dalam satu kenyaatan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.

Dari segi pemerkasaan politik pula, Suhakam berkata hanya 14.4 peratus ahli perlimen yang dipilih terdiri daripada wanita.

Jelasnya, dengan meratifikasikan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw) pada tahun 1995, Malaysia mempunyai obligasi untuk menggubal undang-undang bagi mengiktiraf Kesaksamaan Gender dan Hukuman terhadap Gangguan Seksual.

"Walaupun statistik menunjukkan ketaksamaan, kita perlu memperakui bahawa wanita mempunyai peranan tersendiri dalam memperbaiki kesan kemiskinan di kawasan ekonomi rendah yang memberi kesan dan terkesan oleh pendidikan," katanya.