Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari 11: Mahdzir minta padam klausa hak k'jaan batal kontrak dalam surat - saksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, kembali ke mahkamah untuk dibicarakan atas tiga pertuduhan berkaitan dengan penyalahgunaan dana bagi bekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di 369 sekolah pedamanan di Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion, dan dianugerahkan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd melalui rundingan terus.

Malaysiakini membawa kepada anda laporan langsung prosiding itu yang dijadalankan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan.

Antara timbalan pendakwa raya yang mengendaliklan kes ini ialah Ahmad Akram Gharib, manakala Azrul Zulkifli Stork, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh menjadi peguam bela Rosmah.

LANGSUNG

1.01 tengah hari: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan prosiding hari ini dan akan bersambung semula esok.


12.29 tengah hari: Kamarudin berkata dia menerima panggilan telefon daripada menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid untuk meminda surat kontrak kepada Jepak Holdings.

Dia diminta membuang "klausa 11" yang memberi hak kepada kerajaan untuk membatalkan kontrak pada bila-bila masa.


12.20 tengah hari: Kamaruddin Abdullah berkata dia mengeluarkan surat hasrat (letter of intent) kedua bertarikh 4 Nov 2016 kepada Jepak, memandangkan syarikat itu tidak melampirkan cadangan perincian kewangan dan teknikal ketika membalas surat hasrat pertama.


12.07 tengah hari: Bekas pegawai Kementerian Pendidikan Kamarudin Abdullah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10, masuk ke kandang saksi.

Dalam pernyataan bertulisnya, Kamarudin berkata dia telah diarahkan oleh setiausaha kementerian pendidikan ketika itu, Madinah Mohamad untuk menulis surat kepada ketua setiausaha Perbendaharaan.

Surat itu untuk memohon bagi Jepak Holdings mengambil alih projek penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.


11.39 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan prosiding berehat sebentar.


11.35 pagi: Saksi kesembilan Ahmed Farriq Zainul Abidin dalam keterangannya memberitahu ketika sampai ke Sri Perdana, dia melihat dua lelaki mengambil dua beg daripada kereta Rizal.

Farriq berkata dia melihat dengan jelas mereka membawa beg itu masuk ke dalam rumah.

"Rizal beritahu dia nak jumpa 'mem' dan minta saya tunggu di kereta, kemudian, dia keluar dan kata 'sudah selesai'," katanya.

Katanya, dia hanya tahu sedikit maklumat berkenaan projek solar kerana pernah menemani Rizal untuk bertemu dengan Saidi dan Rayyan.

Katanya lagi, dia tidak ingin tahu tentang projek itu tetapi Rizal beberapa kali cuba bercakap tentang perkara itu dengannya.


11.20 pagi: Ahmed Farriq dalam keterangannya berkata, dia menemani Rizal Mansor daripada Pavilion Tower ke Seri Perdana, bersama-sama dua beg.

Katanya, beg berwarna hitam tersebut dibawa dari Pavilion Tower dengan menaiki kereta.

"Semasa dalam perjalanan, saya tak tahu kedua-dua beg tersebut ada wang. Saya tanya Rizal, dia beritahu nak beri barang kepada 'maam,'," katanya ketika membaca pernyataan bertulisnya.

Istilah 'maam' merujuk kepada Rosmah Mansor, kata Farriq lagi.

Menurutnya, dia tidak bertanya berkenaan isi beg tersebut kerana tahu Rizal seorang yang "amat berahsia" terutama berkaitan kerja.

Bagaimanapun, ketika perjalanan ke Sri Perdana, kata Farriq, Rizal memberitahu bahawa beg itu berisi wang tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.

Katanya lagi, dia mengikut Rizal ke sana selepas diajak bekas pembantu Rosmah untuk minum kopi di sebuah kafe di pusat membeli-belah Pavilion.

Ketika itu, katanya, Rizal memberitahu dia sedang menunggu "barang" untuk diberi kepada seorang individu bernama Lawrence.

Dia berkata pernah bertemu Lawrence yang menurutnya bekerja untuk seorang lelaki bernama Desmond Lim.

Rizal Mansor


11.09 pagi: Saksi kesembilan Ahmed Farriq Zainul Abidin berkata, dia pertama kali bertemu dengan Rizal Mansor adalah pada 2014 di program Selawat Perdana di Putrajaya.

Farriq berkata, mereka kemudian berkawan dan Rizal mengundangnya untuk membentuk Yayasan Perdana Ummah, yang menganjurkan program berkaitan agama, sukan dan kebajikan.

Dia juga berkata ketika pertama kali bertemu Rizal, dia memang tahu lelaki itu menjadi pegawai khas kepada Najib Razak dan pembantu khas Rosmah Mansor.


11.02 pagi: Razak Othman selesai memberi keterangan pada sesi pemeriksaan balas. 

Kini tiba giliran saksi seterusnya, seorang ahli perniagaan iaitu Ahmed Farriq Zainul Abidin. 


10.24 pagi: Razak memberitahu mahkamah, dia dipanggil SPRM kira-kira empat kali untuk membantu siasatan namun agensi antirasuah itu tidak membuat tahanan raman.

10.46 pagi: Kata Razak dia tidak tahu apa yang berlaku dalam pejabat selepas meninggalkan dua beg berisi RM2.5 setiap satu di situ.

Akberdin: Dalam tempoh 15 minit, kamu tak tahu apa yang berlaku, sama ada kandungan (dibawa dari) dalam bank itu dikeluarkan semua atau sebahagian kerana kamu tak memasuki bilik itu, betul?

Razak: Betul.


10.21 pagi: Akberdin semasa melakukan soalan balas mencadangkan Razak sebenarnya tidak tahu jumlah sebenar wang yang dimasukkan ke dua beg didakwanya berisi RM2.5 juta setiap satu.


10.19 pagi: Saksi kelapan pendakwaan, Razak Othman, memberitahu dia tidak tahu jumlah wang yang dikeluarkan Saidi Abang Samsudin dari akaun di Maybank.

Razak juga berkata dia tidak melihat cek yang berkaitan walaupun pergi ke bank terbabit bersama pengarah urusan Jepak Holdings tersebut.

Saksi tersebut ialah rakan kongsi Saidi. 


10.04 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memasuki mahkamah. Prosiding bermula.


9.50 pagi: Tertuduh memasuki kandang tertuduh.