Zahid turut cadang muka baru, tokoh muda dalam kabinet
Meskipun tidak menawarkan diri dilantik dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya terdapat tokoh-tokoh baru BN berada dalam kerajaan yang ditadbir Muhyiddin Yassin.
“Umno dan BN telah mengemukakan cadangan senarai nama-nama anggota kabinet mengikut peratusan atau kadar sumbangan Umno dan BN serta sokongan ahli-ahli Parlimen Umno dan BN dalam pembentukan kerajaan baharu.
“Keutamaan diberikan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam Umno Malaysia dan BN.
“Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda, profesional, teknokrat daripada BN dan friends of BN turut dicadangkan namanya bagi pertimbangan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menyatakan Muhyiddin akan mengumumkan senarai jemaah menteri pada jam 5 petang ini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, untuk mempersembahkan senarai baru jemaah menteri yang dipilihnya.
Pada 2 Mac, Muhyiddin berkata beliau akan menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai keutamaan selain melantik anggota kabinet daripada kalangan pemimpin yang bersih.
Pada masa sama, Zahid berkata Umno dan BN akan menyokong sepenuhnya kepada Muhyiddin dalam membuat pelantikan daripada kalangan pemimpin yang bersih dan berintegriti.
“Sebagai parti yang menganggotai Perikatan Nasional dan sebahagian daripada kerajaan, Umno dan BN serta Muafakat Nasional menyokong perdana menteri.
“Kita yakin bahawa perdana menteri mempunyai roh dan semangat yang sama,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai