Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19 menular di Eropah, Itali terjejas teruk

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Bermula pada Ahad Itali menutup kawasan utara wilayah Lombardy dan 14 wilayah berdekatan, berikutan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa, lapor agensi berita Xinhua.

Covid-19, mula merebak di seluruh Eropah, dengan kes disahkan sehingga kini melebihi 10,000 membabitkan 39 negara. Setakat ini, negara terakhir dilanda virus maut itu ialah Bulgaria.

Berikutan Itali merupakan negara Eropah paling teruk terjejas, Perdana Menteri Giuseppe Conte menandatangani dekri untuk mengarahkan beberapa negeri ditutup termasuk Milan dan Venice.

Berkuat kuasa sehingga 3 April, sekatan itu akan memberi kesan kepada 16 juta orang, menyumbang lebih satu perenam penduduk negara ini.

Penutupan itu juga tertakhluk kepada muzium, teater, bioskop, kelab malam, tempat ibadat, pusat peranginan luncul salji, gimnasium, kolam renang, sekolah, universiti dan tempat awam.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji tindakan Itali itu.

"Kerajaan dan rakyat Itali telah mengambil langkah yang berani," kata Tedros (gambar, bawah) di Twitter.

Covid-19 menyebabkan seramai 133 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 366 orang. Sebanyak 622 pesakit pulih, peningkatan sebanyak 33 orang lagi berbanding Sabtu.

Kebanyakan kematian dilaporkan di Lombardy (113), diikuti Emilia-Romagna (lapan), Veneto (lima), Lazio (dua), Liguria (dua) dan masing-masing satu di Friuli Venezia Giulia, Marche dan Puglia, kata Ketua Jabatan Perlindungan Awam, Angelo Borrelli pada Ahad petang.

Pecahan mengikut faktor umur pula - masing-masing satu kematian (kumpulan umur 0-49) dan (kumpulan umur 50-59), 14 kematian (kumpulan umur 60-69), 39 (kumpulan umur 70-79), 60 (kumpulan umur 80-89) dan 18 kematian dalam kalangan mereka berumur melebihi 90 tahun.

Secara keseluruhan, Itali mencatatkan 7,375 kes, termasuk kematian dan pesakit yang pulih, sejak virus pertama kali dikesan pada 21 Februari.

Kes di Eropah bercambah

Perancis, negara Eropah pertama yang dilanda Covid-19, 177 jangkitan baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,126. Seramai 19 orang meninggal dunia pada Ahad.

Di Jerman, bilangan kes disahkan mencecah 902 pada Ahad, peningkatan 107 kes dalam tempoh 24 jam.

Di Romania, pihak berkuasa memutuskan melarang semua aktiviti yang melibatkan lebih 1,000 peserta, berkuat kuasa sehingga 31 Mac. Romania menambah enam lagi kes baru pada hujung minggu ini dengan kes keseluruhan 15 kes.

Di Portugal turut menyaksikan Presiden Marcelo Rebelo de Sousa dikuarantin di kediaman peribadinya selama dua minggu, selepas pelajar yang melakukan kunjungan hormat kepada beliau disahkan dijangkiti Covid-19.

Sepanyol, mencatatkan 589 kes, peningkatan sebanyak 159 sejak Sabtu. Setakat ini, 10 orang telah meninggal dunia.

Selain itu, Belgium mencatatkan 200 kes, Austria (102), Greece (73), Denmark (35), Finland (23), Ireland (21), Poland (11) dan Latvia (dua).

- Bernama