Skip to main
Logo Malaysiakini

117 dijangkiti Covid-19 di M'sia dengan 18 kes baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan 18 kes baru positif Covid-19 menjadikan keseluruhan 117 kes di Malaysia.

Daripada 18 kes baru, hanya satu yang diimport manakala 17 yang lain mungkin didapatkan daripada jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang diimport itu dirujuk sebagai Pesakit 101 yang baru pulang dari Iran.

Beliau, bersama rakan perniagaannya, telah melakukan perjalanan ke Iran pada 20 Februari dan kembali pada 27 Feb.

Dia mula menunjukkan gejala pada 5 Mac dan positif ujian Covid-19 pada 8 Mac.

"Kini, kes telah dirawat dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Daripada 117 kes yang direkodkan, 22 adalah daripada gelombang jangkitan pertama dari 25 Jan hingga 16 Feb. Semua yang dijangkiti semasa gelombang pertama telah pulih sepenuhnya.

Baki 95 kes lagi dikesan semasa gelombang kedua jangkitan yang bermula pada 28 Feb lalu.

Hanya enam daripada 95 kes di bawah gelombang kedua yang mungkin menjadi kes diimpot kes manakala selebihnya adalah jangkitan tempatan.