Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet tanpa TPM tindakan berani, berinovasi - Pensyarah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelantikan barisan kabinet gabungan baru yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan satu inovasi dalam sejarah negara yang menyaksikan jawatan timbalan perdana menteri tidak diwujudkan buat masa ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyifatkan keputusan itu sebagai satu tindakan berani dengan tugas TPM di kelolakan oleh empat menteri kanan, selain melantik seorang tokoh baru daripada sektor korporat.

Menteri Kanan tersebut ialah Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan) Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memegang jawatan Menteri Kewangan dan Mustapa Mohamed sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Pemilihan Tengku Zafrul sebagai menteri kewangan dianggap mampu membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang membanggakan memandangkan pengalaman yang dimiliki beliau terutamanya dalam menguruskan bank, selain bersih, profesional dan beretika.

“Kita mengharapkan ekonomi Malaysia pada masa akan datang akan dipacu oleh insititusi wakaf yang menekankan aspek pelaburan aset dan kewangan sebagai paksinya,” kata Dr Barjoyai (gambar, bawah) kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa Kementerian Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) perlu berganding bahu dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) untuk mewujudkan agenda khusus bagi menangani isu kemiskinan kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada keperluan kos hidup.

Secara keseluruhannya, dari segi kredibiliti semua menteri kabinet yang dilantik adalah dalam kalangan mereka yang bersih dan boleh diterima sebagai beretika serta profesional, ujarnya.

Ini sekali gus, katanya, boleh meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melihat Malaysia meneruskan agenda membersih dan membanteras rasuah.

“Oleh itu, saya mencadangkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini, kajian prestasi ‘agenda prestasi utama’ terhadap menteri-menteri, dapat dilakukan supaya mereka bukan sahaja bersih tetapi juga boleh melaksanakan prestasi yang cemerlang dalam Kabinet, kerana ini akan menentukan ketelusan kerajaan baharu,” katanya.

- Bernama