Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid tolak jawatan kabinet untuk tumpu PRU-15, kes mahkamah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menolak untuk memegang jawatan dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) kerana mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Selain itu, Zahid juga berkata beliau akan menumpukan untuk "membersihkan diri" di mahkamah berhubung kes-kes yang dikairkan dengannya.

"Saya menolak jawatan kabinet agar dapat fokus mempersiapkan parti menghadapi PRU ke-15.

"Saya akan membersihkan diri saya di mahkamah dan pertuduhan-pertuduhan terhadap saya tidak digugurkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh peguam negara terdahulu terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Zahid, keputusan itu dibuat bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan ekoran defisit kepercayaan yang menurutnya dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Zahid kelmarin secara terbuka mengumumkan bahawa beliau menolak sebarang pencalonan bagi memegang jawatan dalam kabinet.

Ketika ditemui di Putrajaya, Zahid mahu penyokong parti berlapang dada menerima keputusan perdana menteri berhubung pelantikan mana-mana anggota parlimen sebagai anggota jemaah menteri.

Beliau berkata perdana menteri tentunya telah mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan memilih wakil rakyat berkenaan untuk dipersembahkan bagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai anggota kabinet.

Terdahulu petang tadi, perdana menteri mengumumkan barisan jemaah menteri bagi kabinet kerajaan PN pimpinanya.

Ia membariskan anggota kabinet yang dipilih daripada Umno, PAS, GPS dan 'kem Mohamed Azmin Ali' yang juga bekas anggota Parlimen PKR.

Sementara itu, Zahid mengulangi pendiriannya yang mahukan mahkamah membuat keputusan berhubung pertuduhan dihadapinya yang dianggap sebagai pendakwaan politik.

"Insya-Allah, saya berdoa agar mahkamah membuat keputusan yang terbaik untuk saya.

"Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih," katanya.