Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada tindakan terhadap Adun PKR Perak lompat parti - Farhash

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari yang bertindak keluar PKR dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak akan dikenakan tindakan.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata partinya tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap Abdul Yunus kerana keahliannya gugur secara automatik selepas meninggalkan parti.

"Sebenarnya tidak ada tindakan lanjut daripada PKR Perak. Sebab dia dah seberang ke sana. Secara automatik gugur keahlian dalam PKR dan dia tak mewakili lagi PKR.

"Saya harap, rakyat akan hukum beliau dalam pilihan raya seterusnya," katanya kepada Malaysiakini di Majlis Pertahan Mandat Rakyat di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur, malam tadi.

Terdahulu, Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim diminta mengulas tindakan parti terhadap Yunus yang mengumumkan keluar dari PKR untuk menyertai Bersatu.

Semalam, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak apabila PN kini mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ini selepas dua Adun menyertai Bersatu iaitu Abdul Yunus dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Susulan itu, tiga lagi Adun daripada Pakatan Harapan mengisytiharkan keluar parti iaitu Adun Tronoh Paul Yong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam - kedua-duanya daripada DAP - dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim daripada Amanah.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata PN akan memohon perkenan untuk mengadap Sultan Perak bagi memaklumkan perkara itu.

'Tahu Yunus berkiblatkan siapa'

Sementara itu, Farhash berkata beliau sudah menjangka Yunus akan bertindak demikian namun terkejut dengan tindakan tiga Adun PH yang mengisytiharkan sokongan kepada PN.

"(Yunus keluar PKR) bukanlah satu kejutan untuk saya. Dah jangka lama dah."

"Yang mengejutkan saya sebenarnya ketua Pemuda Amanah (Hasnul). Itu yang saya tak duga dan juga dua daripada Adun daripada DAP.

"Tapi kalau Yunus ini, dalam kalangan PKR kita tahu (dia) kiblatkan siapa. Jadi, memang tidak terkejut," tambahnya.

Pada PRU14 PH membentuk kerajaan di Perak, selepas gabungan itu menang 29 kerusi berbanding Umno dan PAS yang memenangi 30 kerusi secara keseluruhan.

Namun, dua Adun Umno bertindak keluar parti dan menyokong Faizal sebagai menteri besar menjadikan PH Perak memiliki 31 kerusi sebelum ditumbangkan semalam.