Hari 12: Bank luluskan pengeluaran walau tandatangan pada cek tak sama - saksi
LANGSUNG | Perbicaraan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, masuk hari ke-12 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.
Malaysiakini membawakan kepada anda laporan secara langsung prosiding.
LANGSUNG
3.30 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan hari ini. Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Alias Ahmad dijangka memberi keterangan esok.
Rosmah kemudian dilihat ke mahkamah bersebelahan, di mana perbicaraan kes SRC International melibatkan suaminya, Najib Razak sedang berlangsung.
3 petang: Penolong pengurus Maybank Low Ai Leen berkata pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin membuka akaun di bank itu di cawangan Medan Tuanku pada 27 Mac 2009.
setakat Julai 2018, akaun itu masih aktif dengan baki RM416.26.
Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Azrul Zulkifli Stork, dia mengesahkan pada Disember 2016, terdapat RM626,000 dalam akaun tersebut.
Pada 20 Disember tahun itu, katanya lagi, ada deposit berjumlah RM6 juta dengan RM5 juta daripadanya dikeluarkan menerusi cek pada hari sama.
Pada 30 September 2017, RM1.5 juta pula dikeluarkan daripada akaun itu, katanya lagi.
Azrul bertanya kepada Low sama ada dua cek pengeluaran mempunyai tandatangan berbeza daripada tandatangan yang digunakan Saidi ketika membuka akaun.
Low berkata tandatangan itu berbeza, dan setuju bahawa prosedur biasa Maybank adalah untuk tidak meluluskan transaksi tanpa tandatangan yang sepadan.
Ketika pemeriksaan semula, timbalan DPP bagaimanapun menunjukkan terdapat sela masa yang lama antara dua tandatangan tersebut.
2.33 petang: Perbicaraan bersambung selepas rehat tengah hari, dengan saksi kesebelas Low Ai Lee, penolong pengurus Maybank, memulakan keterangannya.
12.40 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat untuk makan tengah hari dan akan disambung petang nanti.
12.30 tengah hari: Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Kamarudin mendakwa surat Mahdzir kepada Najib - bertarikh 19 Jun 2017 - ditulis sendiri oleh ahli parlimen Padang Terap itu.
"Surat ni dibuat sendiri oleh menteri, (ia) tidak melalui saya," kata Kamarudin.
Kenyataan itu nampak mengejutkan sebahagian daripada orang awam yang mengikuti perbicaraan tersebut.
Sebelum itu Kamarudin berkata Mahdzir mengarahkannya untuk memadamkan satu klausa dalam surat penganugerahan kepada Jeepak Holdings.
Klausa itu, kata saksi terbabit, membolehkan kerajaan menamatkan kerja-kerja projek tersebut dan membuat potongan daripada sebarang tugasan yang tidak disiapkan.
Bagaimanapun, kata Kamarudin, semua yang tidak dinyatakan pada surat penyerahan itu ditambah dalam kontrak yang disiapkan kemudian.
Semasa sesi pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya, Kamarudin menjelaskan, Mahdzir tidak pernah memanggilnya untuk berbincang tentang surat tersebut atau cuba mendapatkan maklumat yang berkaitan.
Sebaliknya kata Kamarudin dia hanya menerima satu salinan surat berkenaan.
Ditanya bagaimana Mahdzir mendapat maklumat yang diperlukan, Kamarudin menjawab: "Saya rasa melalui pegawai khas."
11.40 pagi: Perbicaraan bersambung.
11.14 pagi: Prosiding berhenti rehat seketika.
11 pagi: Mahkamah diberitahu pada 19 Julai 2017, menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid, meminta perdana menteri, Najib Razak agar memberikan kebenaran untuk mengecualikan peraturan berkaitan pelaksanaan projek panel solar.
Najib kemudian memaklumkan timbalan ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Othman Semail, bahawa pengecualian itu diizinkan.
10.35 pagi: Menurut Kamarudin, pada 4 Mei 2017 dia menerima sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan yang memaklumkan mereka menolak bayaran pendahuluan sebanyak RM130 juta.
Katanya ia selaras dengan peraturan pembayaran kerajaan yang menetapkan pendahuluan sesuatu projek mestilah setakat 25 peratus atau RM10 juta saja, tertakluk kepada mana yang lebih tinggi.
Alias kemudian menghantar surat lain kepada Jabatan Pemerolehan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kelulusan mengenai pendahuluan berkenaan, dengan jaminan daripada Archipelago Insurance Limited.
Lima hari kemudian, Alias menerima surat balasan menyatakan Kementerian Kewangan mengekalkan keputusan terdahulu dan Kementerian Pendidikan mesti mematuhi semua peraturan terlebih dulu sebelum bayaran dikeluarkan.
10.25 pagi: Menurut Kamarudin, bekas ketua setiausaha KPM itu menghantar sepucuk surat daripada Jepak kepada perdana menteri yang bertarikh 21 April 2017.
Katanya, dia diarahkan untuk bertindak mengikut minit yang dijelaskan oleh perdana menteri dalam surat Jepak tersebut, yang berbunyi: "YBhg Datuk Sri Alias. Diluluskan permohonan ini. Sila keluarkan pendahuluan dengan segera.
Kamarudin berkata, dia kemudian mengambil tangkap layar perbualan di WhatsApp tersebut dan mencetaknya bersama surat Jepak untuk tujuan rekod.
10.20 pagi: Kamarudin memberitahu mahkamah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengirim sepucuk surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan pada 19 Apr 2017.
Surat itu, katanya, adalah untuk memajukan sepucuk surat lain daripada Jepak kepada perdana menteri - atas kapasitinya sebagai menteri kewangan - berisi permohonan bayaran awal sebanyak RM130 juta.
Jepak juga meminta perdana menteri mengarahkan Alias membuat bayaran tersebut tanpa sebarang penangguhan.
Katanya, kandungan surat itu berbunyi: "YBhg Datuk Sri Alias. Tolong tandatangan kontrak ini dengan segera."
10.15 pagi: Saksi kesepuluh, bekas Setiausaha Bahagian (SUB) di bahagian perolehan dan pengurusan aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kamarudin Abdullah kembali ke kandang saksi.
Menyambung keterangan saksinya, Kamaruddin berkata, Jepak Holdings gagal memenuhi syarat untuk mendapatkan pendahuluan RM130 juta bagi projek panel solar.
Hal itu dinyatakan dalam sepucuk surat dari Kementerian Kewangan kepada bekas ketua setiausaha KPM yang meminta bayaran pendahuluan berkenaan.
Surat kementerian kewangan berkenaan memaklumkan Jepak mengemukakan jaminan insurans daripada Archipelago Insurance Limited, yang tidak dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.
Berdasarkan surat itu, Archipelago hanya dilesenkan di bawah pihak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
Kementerian kewangan berkata, bagi mempercepat proses pembayaran, KPM perlu patuh pada peraturan kewangan sedia ada dan menandatangani kontrak perolehan dengan Jepak dalam kadar segera.
Ahli perniagaan kenal pasti 'Lawrence'
10:08 pagi: Ahmed Farriq diminta mengenal pasti individu yang dikenalinya sebagai Lawrence, yang tidak hadir semalam.
Lawrence muncul melalui pintu saksi di mahkamah dan kemudian dikenal pasti.
Peguam bela, Azrul Zulkifli Stork mengambil peluang untuk bertanya soalan lanjut.
Beliau bertanya Farriq jika dia tahu dua individu yang mengambil dua beg dari kereta pembantu Rosmah, Rizal Mansor sebelum ke Seri Perdana.
Saksi itu menjawab tidak tahu.
Azrul kemudian menyatakan bahawa Farriq tidak tahu apa yang dilakukan mereka terhadap dua beg berkenaan, dan Farriq bersetuju.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian bertanya Farriq jika terdapat mana-mana kediaman lain dalam Seri Perdana.
Farriq menjawab dia tidak tahu.
10:02 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memasuki mahkamah dan prosiding bermula.
9.50 pagi: Tertuduh, Rosmah Mansor memasuki kandang saksi.
Saksi pendakwaan kesembilan, Ahmed Farriq Zainul Abidin, yang merupakan seorang ahli perniagaan memasuki kandang saksi.
Bekas Setiausaha Bahagian di Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset KPM, Kamarudin Abdullah akan menyambung semula kenyataan saksi yang dibacakannya hari ini sebelum disoal oleh peguam.
Saksi kesepuluh itu memberi keterangan semalam bahawa beliau telah diarahkan untuk menulis surat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memohon Jepak Holdings mengambil alih penyelenggaraan dan operasi sistem janakuasa diesel (genset) di sekolah-sekolah luar bandar Sarawak.
Beliau juga telah menerima arahan daripada bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid untuk meminda Surat Setuju Terima (LOA) untuk Jepak Holdings bagi menghapuskan "Klausa 11".
Klausa 11 merujuk kepada hak kerajaan untuk menamatkan kontrak bila-bila masa.
Sebelum itu, ahli perniagaan Razak Othman semalam memberi keterangan bahawa beliau tidak tahu dengan tepat berapa banyak wang yang beliau dan rakan kongsinya, Pengarah Urusan Jepak Holding Saidi Abang Samsudin, telah masukkan ke dua beg yang diserahkan kepada individu yang dikenal pasti sebagai "RM".
Seorang lagi saksi, yang melihat beg itu dihantar ke Seri Perdana, tidak tahu bahawa ia mengandungi wang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai