Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan harap tiada lagi halangan dapat royalti minyak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan berharap tiada lagi halangan untuk negeri itu menerima bayaran royalti petroleum daripada kerajaan pusat.

Harapan itu disuarakan timbalan menteri besar Mohd Amar Abdullah yang menyifatkan ia antara perkara utama yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Kita harap tidak ada masalah, pertamanya sebab Majlis Kewangan Negara sudah buat keputusan dan sekarang pun ada kabinet baru.

"Sebelum ini kita difahamkan masalah adalah di Kementerian Kewangan yang berdolak-dalik apabila timbul isu pembayaran royalti ini...Sekarang kita harap perkara ini boleh selesai, harapan lebih cerah," katanya ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Katanya lagi, penyertaan sejumlah pemimpin PAS dalam kabinet baru juga diharap dapat memudahkan lagi proses itu.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembentukan kabinet oleh Muhyiddin, semalam, yang menyaksikan lima daripada wakil rakyat Kelantan diangkat sebagai menteri.

Beliau dipercayai merujuk keputusan mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada 2018 yang dipengerusikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang antara lain memutuskan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus kepada negeri pengeluar dan disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri.

Isu pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan sentiasa menjadi isu hangat sejak pentadbiran BN dan turut disertakan PH dalam manifesto PRU ke-14.

Sebelum ini bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan Kelantan pertama kali menerima royalti minyak secara terus, dan bukan menerusi badan bawah kerajaan persekutuan.

Ia sehari selepas Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata apa yang diterima daripada kerajaan PH bukan royalti, sebaliknya hanya wang ehsan.

Azmin Ali ketika menjadi menteri hal ehwal ekonomi kerajaan PH, pula menjelaskan bayaran kepada negeri itu hanya membabitkan dua lapangan - Bumi selatan dan Suria Selatan yang berada dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai - memandangkan sepuluh lapangan masih tiada persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam pada itu, Mohd Amar menyifatkan barisan jemaah menteri yang diumumkan Muhyiddin semalam sebagai baik serta imej baru dan segar, berbeza dengan kabinet-kabinet sebelum ini.

Katanya, Muhyiddin membuat keputusan setelah menerima pandangan daripada parti dalam Perikatan Nasional, walaupun ia "tidak 100 peratus memenuhi hasrat parti".

"Kita harap kabinet boleh berfungsi dengan baik dengan fokus utama memulihkan ekonomi negara," katanya.