Skip to main
Logo Malaysiakini

'PN perlu tumpu usaha tarik balik keyakinan pelabur asing'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menumpukan  usaha mengembalikan keyakinan pelabur asing, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang baru saja dilantik menerajui Kementerian Alam Sekitar itu berkata, kabinet PN juga perlu membuktikan mereka lebih baik jika dibandingkan PH sebelum ini.

"Fokus dalam muafakat atau gagasan baru ini dari sudut ekonomi ialah mengembalikan semula keyakinan pelabur-pelabur asing.

"Kerajaan baru ini juga mesti memberi fokus kepada mengembalikan semula keharmonian dan ketenteraman.

"Kita yakin dengan kemelut yang berlaku bukan mudah untuk diatasi," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Kerajaan PN dibentuk selepas krisis politik ekoran 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Pada 1 Mac lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan PN bersama Umno, PAS dan GPS .

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata beliau yakin kerajaan baru yang dipimpin Muhyiddin akan mampu menunjukkan hasil lebih baik kepada rakyat.

"Fokus kerajaan baru ini bagaimana untuk menyakinkan pembentukan kerajaan baru ini atas nama PN mampu mentadbir lebih baik daripada PH yang ada sebelum ini," katanya.