Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tiada orang akan ikut bekas ketua Pemuda kami’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda Amanah mengutuk tindakan bekas ketuanya Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang berpaling tadah keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Timbalan ketua pergerakan Shazni Munir Mohd Ithnin berkata tidak ada walau seorang pun yang akan mengikuti jejak beliau.

“Ketua-ketua Pemuda Amanah Negeri mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dan khianat beliau”, jelas Shazni dalam satu sidang media di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Semalam tiga Adun PH Perak termasuk Hasnul mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Perkara itu diumumkan dalam sidang media di Ipoh selepas PN mengumumkan membentuk kerajaan negeri ketiga selepas Johor dan Melaka.

Tiga Adun PH yang keluar parti dan menyokong PN di Perak

Selain Hasnul, Adun Tronoh dan Buntong daripada DAP iaitu Paul Yong Choo Kiong dan A Sivasubramaniam turut sama keluar dari parti.

Tambah Shazni lagi, Pemuda Amanah akan meneruskan gerak kerja pada setiap peringkat, seperti biasa.

Katanya, mereka akan melantik pengganti Hasnul Zulkarnain dalam masa terdekat.

Shazni turut berkata pencalonan calon ketua pemuda terbuka kepada kesemua 26 anggota Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional.