Yong gesa Nga, Ngeh henti serangan 'kebudak-budakan'
Adun Tronoh Paul Yong, yang mengambil langkah untuk keluar DAP semalam, menuduh pemimpin DAP Perak Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming melancarkan usaha "kebudak-budakan" untuk mencalar reputasinya.
Bercakap dalam sidang media di Ipoh hari ini, Yong mendakwa Ngeh dan Nga bertanggungjawab terhadap "serangan tentera siber" di laman Facebooknya.
Beliau juga menuduh Ngeh dan Nga cuba mengadakan himpunan dengan poster yang memaparkannya sebagai "katak".
Bagaimanapun tiada himpunan sedemikian yang diadakan setakat ini.
"Pagi ini mereka hantar seseorang untuk kumpul orang (sekitar Tronoh) untuk sertai himpunan.
"Tiada yang ikut serta dan rancangan mereka gagal," dakwa Yong.
Beliau juga menyangkal tuduhan bahawa dirinya menjadi punca tumbangnya kerajaan PH di Perak.
Katanya, keputusan untuk keluar parti, bersama-sama Adun Buntong A Sivasubramaniam dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, hanya dibuat selepas kejatuhan kerajaan negeri itu.
Katanya lagi, tidak salah untuknya meninggalkan DAP sebagai bantahan terhadap bagaimana Ngeh dan Nga memimpin parti itu di Perak.
Yong menyifatkan dua pemimpin DAP itu sebagai "diktator".
"Tidak bolehkah saya tunggu mereka dikalahkan (dalam pemilihan parti) dan sertai semula parti? Boleh, kan?" katanya lagi.
Sidang media itu turut disertai Sivasubramaniam dan Adun Pokok Assam Leow Thye Yih. Leow masih anggota DAP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai