Skip to main
Logo Malaysiakini

Papagomo tegur Wan Fayhsal jangan gelojoh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau juga dikenali sebagai Papagomo menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya "tidak gelojoh" dengan jawatan timbalan menteri belia dan sukan.

Melalui ciapan di Twitternya, Azri berkongsi tangkap layar akaun Twitter Fayhsal yang memaparkan jawatan berkenaan.

"Sabar le YB senator @wanfayhsal tadi baru dilantik senator.

"Majlis angkat sumpah timbalan menteri belum lagi tu bro. Jangan nampak sangat awak tu gelojoh. Rileks bertenang," tulisnya.

Dalam respons segera kepada Malaysiakini, Fayhsal menjelaskan bahawa keterangan pada akaun Twitter itu ditukar oleh pentadbir akaunnya.

"Oh itu admin saya yang tukarkan, no issue (tiada isu)," katanya ringkas.

Fayhsal sebelum ini merupakan pegawai khas kepada bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum dilantik menyertai kabinet Perikatan Nasional (PN).

Fayhsal juga merupakan pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Pemuda Bersatu (Armada).

Bagi individu yang bukan anggota Dewan Rakyat diangkat menjadi menteri ataupun timbalan menteri, terlebih dulu perlu mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara.

Selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara ataupun senator, kemudiannya disusuli dengan angkat sumpah jawatan sebagai menteri ataupun timbalan menteri.

Pagi tadi, enam senator mengangkat sumpah di Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, V S Vigneswaran, susulan pelantikan mereka dalam kabinet.

Selain Fayhsal, lima yang lain ialah Dr Zulkifli Mohamad (menteri di Jabatan Perdana Menteri), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan), Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan I), naib presiden MCA Lim Ban Hong (timbalan menteri perdagangan antarabangsa), Ahmad Masrizal Muhammad (timbalan menteri alam sekitar).