Skip to main
Logo Malaysiakini

12 kes baru Covid-19 dicatat hari ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebanyak 12 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini ialah 129 kes.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kes-kes positif itu adalah dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Manakala seorang, iaitu kes ke-87 telah pulih dan didiscaj daripada hospital.

“Ini menjadikan setakat ini seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pagi tadi melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan pada lawatan itu Perdana Menteri diberi taklimat mengenai status semasa Covid-19.

Turut hadir dalam lawatan itu Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Selepas lawatan itu, Muhyiddin turut mempengerusikan mesyuarat koordinasi bagi membincangkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia, menurut kenyataan itu.

Menurut PMO, kerajaan Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga dan mempunyai kaedah-kaedah untuk menangani situasi itu sekiranya kejadian Covid-19 di negara ini menjadi lebih serius.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan kapasiti sedia ada di pelbagai kementerian dan agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi kejadian Covid-19 yang lebih meruncing.

“Ini termasuk meningkatkan aspek sumber manusia, kemudahan makmal, klinik kesihatan dan hospital bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa kerajaan Malaysia juga dalam perancangan untuk menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital khusus untuk merawat kes Covid-19.

“Terkini, Kementerian Kesihatan juga menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menangani situasi Covid-19,” menurut kenyataan itu.

PMO dalam kenyataan itu juga menasihatkan rakyat Malaysia yang bergejala agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

PMO turut mengucapkan tahniah kepada semua jentera dan anggota kerja Perkhidmatan Awam dan swasta yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menangani Covid-19.

"Rakyat Malaysia diseru untuk tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak sahih mengenai penularan Covid-19. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan kebimbangan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat,” kata PMO dalam kenyataan itu.

- Bernama