Skip to main
Logo Malaysiakini

‘NUTP, jangan api-apikan isu Jawi untuk kepentingan peribadi’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Majlis Bahasa Cina Malaysia membidas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mahukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Pengerusinya, Eddie Heng bekata kenyataan Presiden NUTP Aminuddin Awang itu jelas berbau politik dan tidak bertanggungjawab.

Beliau juga mengingatkan NUTP bahawa pertubuhan pendidikan Cina tidak pernah sama sekali menentang tulisan Jawi.

“(Kami) hanya tidak setuju dengan cara menyisipkan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“NUTP sebagai satu badan perkhidmatan perguruan kebangsaan seharusnya lebih professional dalam memberi pandangan dan cadangan tentang isu pendidikan dan bukannya berpaksikan politik.

“Sebagai satu badan pendidikan kebangsaan, beliau sepatutnya mencadangkan kepada KPM untuk mengadakan sesi perbincangan yang merangkumi wakil daripada semua lapisan masyarakat dan bukannya mengapi-apikan isu Jawi untuk mengaut kepentingan peribadi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, NUTP melalui presidennya Aminuddin Awang berkata kesatuan itu mengharapkan menteri pendidikan yang baru, Dr Mohd Radzi Md Jidin akan meneruskan usaha menyisipkan tulisan Jawi sebagaimana perancangan asal tanpa tunduk pada mana-mana pihak yang menentang.

Mengulas lanjut, Heng berkata, pertubuhan pendidikan Cina seperi Majlis Bahasa Cina Malaysia, DongZong, JiaoZong telah beberapa kali memohon KPM mengadakan mesyuarat untuk membincang perkara itu.

“Cadangan pengajaran Jawi yang lebih sesuai juga telah dikemukakan kepada KPM.

“Tetapi semua usaha ini tidak menerima sebarang jawapan daripada KPM,” katanya.

Malah, menurutnya, majlis itu juga bersedia untuk membincangkan isu Jawi dengan NUTP supaya mesej dan pandangan pelbagai kaum dapat disampaikan dan dibincang.

KPM memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi secara pilihan semasa pentadbiran menteri pendidikan terdahulu, Dr Maszlee Malik di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak.