Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis berjaya kawal demo di pejabat Adun Tronoh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis berjaya mengawal demonstrasi yang tercetus antara penyokong Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dengan penyokong DAP di Pusat Khidmat Adun di Batu Gajah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Ketua Polis ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu kira-kira 100 ahli DAP Perak melakukan protes berhubung tindakan Yong keluar parti baru-baru ini dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Menurut Ahmad Adnan, ahli DAP berkenaan berkumpul di depan pejabat Khidmat Adun Tronoh dengan membawa kain rentang dan sepanduk membantah tindakan Adun Tronoh keluar dari DAP.

"Pada masa sama, kira-kira 50 penyokong setia kepada Adun Tronoh berada dalam pejabat pusat khidmat bagi memberi sokongan kepada Yong.

"Bagaimanapun tiada insiden tidak diingini berlaku dan tiada tangkapan dibuat ekoran kesemua mereka bersurai kira-kira pukul 10.40 pagi selepas dinasihatkan pihak polis," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata ketika kejadian Adun Tronoh berkenaan tiada di pejabat berkenaan.

Pada Isnin, selain Yong seorang lagi Adun DAP yang meninggalkan parti itu adalah A Sivasubramaniam yang juga memilih menjadi wakil rakyat Bebas.

- Bernama