Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia perlu berprinsip dalam hubungan dengan India - Mapim

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Kami menegaskan pengumuman dua menteri kerajaan PN untuk memperbaiki hubungan dengan India harus berlandaskan prinsip dan kebenaran.

Sementara Malaysia perlu bersikap berkawan dengan semua pihak namun ia tidak harus melenturkan prinsipnya mempertahankan kebenaran bila berlaku ketidakadilan keatas rakyat mana-mana negara terutama terhadap rakyat minoriti.

Pendirian Malaysia menolak penafian hak jutaan golongan minoriti Muslim dan kelompok minoriti yang lain di India , yang memberi implikasi besar kepada kestabilan rantau , tidak harus berundur kebelakang.

Malaysia harus berpendirian tegas dan adil dalam isu yang menyentuh pelbagai nasib golongan minoriti Muslim dan penganut agama minoriti yang lain.

Malaysia juga telah menyatakan pendirian yang tegas terhadap isu penafian hak rakyat Kashmir oleh kerajaan India supaya Resolusi PBB digunapakai untuk menyelesai konflik yang tercetus kini di Kashmir akibat tindakan India menzalimi rakyat Kashmir.

Harus diingat kerajaan India mendapat dukungan kuat dari Presiden Amerika Donald Trump, ketika rakyat Kashmir dianiayai dan rakyat minoriti Muslim di India dijadi sasaran serangan oleh kelompok fanatik agama yang disokong oleh kerajaan India.

Dalam kunjungan Trump ke India baru-baru ini, di tengah-tengah rusuhan yang berlaku di Delhi yang menyasar minoriti Muslim, perjanjian ketenteraan berbilion Usd di meterai antara dua negara tersebut. 

Trump tidak peduli kebangkitan rakyat India yang menentang Akta Kerakyataan ( CAA ) yang mendiskriminasi minoriti Muslim.

Kami juga mengingatkan India sedang melayani rakyat Kashmir sama seperti Israel melayani rakyat Palestin. Malah model zionis Israel sedang diguna keatas rakyat Kashmir oleh India.

Hubungan golongan nasionalis Hindu, yang diketuai oleh badan bernama RSS yang menggagaskan konsep ketuanan Hindu ( Hindutva ), dengan puak zionis Yahudi yang menggagaskan pengYahudian (Judaization) iaitu ketuanan Yahudi di Palestin, kini sedang menentukan nasib minoriti Muslim di India.

Jangan kerana nak tingkat jualan sawit

Hubungan baik yang mahu diperbaiki oleh kerajaan PN antara Malaysia dan India tidak harus menggadaikan prinsip keadilan dan kebenaran yang selama ini dihormati oleh dunia terhadap Malaysia.

Kami mengakui Malaysia adalah negara kecil. Namun ini tidak bermakna Malaysia harus bergantung kepada negara lain dalam usha menjalin hubungan perdagangan.

Jika hubungan rapat mahu dijalinkan dengan India yang dianggap kuasa besar ia tidak harus menggadai prinsip keadilan hanya kerana Malaysia mahu meningkatkan jualan minyak kelapa sawit kepada India.

Hubungan Malaysia dengan mana-mana negara sekalipun, demi mengujudkan perdagangan, tidak boleh mengenepikan keprihatinan nasib mereka yang dinafikan hak, lalu Malaysia perlu membisu dan tidak menyatakan pendirian menyokong mereka yang tertindas.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.