Skip to main
Logo Malaysiakini

Tangguh himpunan agama di kawasan berisiko - menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad menyarankan perhimpunan keagamaan di kawasan berisiko dengan jangkitan Covid-19 ditangguhkan.

"Ya, apa-apa himpunan perlu ditangguhkan," katanya kepada pemberita di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya, hari ini.

Zulkifli ditanya mengenai keperluan menangguhkan upacara keagamaan selepas seorang lelaki positif Covid-19 menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata 10,000 orang menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling antara 27 Feb dan 1 Mac, yang turut disertai warga Brunei yang positif Covid-19.

Sementara itu, seorang pegawai menteri menjelaskan kepada Malaysiakini, Zulkifli merujuk kepada kawasan berisiko berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata majlis keagamaan terlibat termasuk solat hajat, solat dhuha, tazkirah dan bacaan Yasin beramai-ramai.

“Sekiranya tidak ada apa-apa maklumat yang khusus daripada KKM, maka boleh diteruskan seperti biasa.

“Tetapi wajib untuk kita mengambil langkah pencegahan yang maksimum seperti tidak bersalam dan menggunakan hand sanitiser, singkatkan majlis,” kata pegawai itu.