Pertimbang permintaan NFC bayar hutang tertunggak - Ahli ekonomi
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mempertimbangkan permintaan National Feedlot Corporation (NFC) untuk membuat pembayaran balik hutangnya yang tertunggak kepada kerajaan.
Penganalisis ekonomi, Prof Bajoyai Bardai, berkata ia langkah yang baik bagi memboleh kerajaan mendapat semula wang dipinjamkan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, syarat ketat harus dikenakan bagi tujuan itu supaya tempoh bayaran balik tidak terlalu lama sehingga menjadi hutang lapuk.
"Bagi saya ia wajar dipertimbangkan daripada bankrapkan NFC kerajaan tidak dapat dapat apa-apa, hanya dapat puas hati saja.
"Sekurang-kurang dengan pembayaran balik ini dalam satu tempoh masa yang ditetapkan kerajaan akan mendapat balik duit berkenaan.
"Namun, perlu ada syarat-syarat ketat dan tempoh itu tidak harus terlalu lama sehingga menjadi hutang lapuk," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Ahad lalu, NFC yang dikaitkan dengan skandal pada tahun 2011 berharap kerajaan akan meluluskan cadangan untuk menyelesaikan hutangnya yang tertunggak.
Salleh, dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah membuat cadangan pembayaran balik sejak November 2018 tetapi tidak diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Salleh bagaimanapun memperincikan pelan pembayaran balik yang dicadangkan tetapi kerajaan menyaman NFC Jun lalu untuk mendapatkan semula jumlah keseluruhan baki hutang.
"NFCorp amat berharap untuk mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, untuk melangsaikan baki pinjaman RM250 juta NFCorp daripada kerajaan.
"Cadangan penyelesaian ini telah dinyatakan melalui beberapa surat kepada Kerajaan Malaysia seawal satu tahun setengah lalu, pada bulan November 2018, sehingga paling terkini pada 4 Februari 2020," kata Salleh.
NFC mencuri tumpuan apabila bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan syarikat itu membeli hartanah mewah menggunakan RM250 juta pinjaman kerajaan untuk projek ternakan lembu fidlot di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata salah satu cara lagi adalah kerajaan boleh membenarkan ahli perniagaan lain mengambil alih projek dan aset peminjam.
Cara itu katanya dapat memberi peluang kepada usaha memulihkan semula projek berkenaan yang pada asasnya cukup baik.
"Mungkin kita perlu bagi peluang kepada peniaga lain yang boleh diharapkan meneruskan projek itu dengan mengambil alih aset-aset peminjam.
"Ia boleh digunakan bagi pemulihan semula projek berkenaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai