Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri, timbalan menteri Umno sedia isytihar harta

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri dan timbalan menteri dari Umno akur dengan keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mahukan anggota kabinetnya mengisytiharkan harta.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau akan melakukan pengisytiharan harta dalam tempoh terdekat.

"Insya-Allah memang itu adalah tuntutan yang akan kita buat. Kami akur (arahan isytihar harta) dan itu adalah tugas utama yang perlu dilakukan.

"Malah rakan-rakan lain (menteri dan timbalan menteri) juga sedia isytihar harta mereka," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Anggota parlimen Umno ketika menjadi pembangkang enggan melakukan pengisytiharan harta walaupun ia menjadi ketetapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Malah, Umno dan rakan sekutunya ketika itu PAS turut senada dalam perkara itu.

Pada 5 Disember tahun lalu, seramai 62 anggota parlimen pembangkang termasuk wakil rakyat Bebas masih tidak mengisytiharkan harta meskipun tarikh itu ditetapkan sebagai hari terakhir mereka berbuat demikian.

Berikutan itu mereka berdepan tindakan termasuk digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat atau didenda RM1,000 kerana menghina Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Liew Vui Keong, menjelaskan Anggota Parlimen yang belum mengisytiharkan harta adalah 36 daripada Umno, MCA (1), MIC (1), PAS (18), GPS (3), STAR (1) dan dua Bebas.

Semalam, Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS menyatakan kesediaan untuk melakukan pengisytiharan harta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, bersetuju dengan arahan perdana menteri supaya semua anggota kabinet mengisytiharkan harta masing-masing.

"Kami tiada sebarang masalah (isytihar harta) masalah dalam Parlimen sebelum ini pun saya sudah isytihar harta. Jadi tiada masalah untuk isytihar sekali lagi.

"Sebenarnya sebelum dilantik, kami sudah disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis," katanya.