Skip to main
Logo Malaysiakini

Cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat kerana hukumnya adalah harus dan dimaafkan, demikian menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Perkara itu dijelaskan melalui portal rasmi pejabat mufti itu semalam bagi menjawab kemusykilan masyarakat Islam mengenai status pembersih tangan beralkohol dikira najis kerana mengandungi alkohol.

Menurut portal itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan alkohol yang tidak melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, namun haram diminum.

Alkohol yang diproses melalui pembuatan arak pula hukumnya adalah haram dan najis.

“Ini jelas seperti yang diputuskan muzakarah bahawa ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menyatakan bahawa pelaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko jangkitan virus susulan penularan Covid-19 kebelakangan ini.

"Ia selari dengan nasihat Kementerian Kesihatan kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan diri seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

"Contohnya kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya.

- Bernama