Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Johor akan tentukan tarikh baru sidang DUN

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tarikh baru Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ditunda dari tarikh asalnya 5 Mac lepas, akan ditentukan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Speaker Dun Johor Suhaizan Kaiat berkata, baginda akan membuat ketetapan itu, sesuai dengan kuasa yang diperuntukan mengikut Bahagian Kedua, Fasal 23, Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

“Perkembangan dan isu Sidang Khas Dun Johor telah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim.

Tuanku telah memberi nasihat berkenaan perjalanan Dun yang perlu diadakan, adalah dalam tempoh masa enam bulan daripada sidang terdahulu iaitu pada 21 Nov sehingga 1 Dis lepas,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Pagi tadi, Suhaizan telah menghadap Sultan Ibrahim dipercayai berhubung permohonan mengadakan Sidang Khas Dun oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahad lepas, Adun PH Johor telah menyerahkan surat untuk memohon Sidang Khas Dun kepada Suhaizan yang bertujuan untuk mendapatkan kesahihan sokongan majoriti yang didakwa diperoleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad.

Penyelaras PH Johor Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata permohonan Sidang Khas itu adalah berdasarkan perkara 7(1) dan 7(2) Peraturan Dewan Negeri Johor.

- Bernama