Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Perlis ganti solat Jumaat dengan Zuhur di rumah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan penularan wabak Covid-19, Perlis menggantikan solat Jumaat dengan Zuhur di rumah, maklum Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Maips dalam suatu kenyataan yang dimuat naik hantaran media sosial mufti negeri Dr Mohd Asri Zainal Abidin hari ini memaklumkan hal tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail telah memberi perkenan mengenai arahan ini.

"Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan Covid-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negri Perlis, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail dengan ini memutuskan agar solat Jumaat di seluruh negeri Perlis pada tarikh 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

"Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM.

"Justeru itu pihak KKM meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuklah aktiviti agama hendaklah dielakkan.

"Oleh yang demikian, pengurusan masjid-masjid seluruh negeri Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini," titah baginda Raja Muda Perlis yang menasihatkan umat Islam supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Setakat semalam, Malaysia telah merekod 158 kes jangkitan Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata 70 masjid di republik itu akan ditutup selama lima hari mulai hari ini sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah penularan wabak Covid-19.

Dengan penutupan itu juga, kata Muis pada semalam, tiada solat Jumaat akan diadakan hari ini, diikuti solat berjemaah untuk waktu-waktu lain.

Menurut kenyataan tersebut, penutupan masjid itu diambil sebagai langkah pencegahan berikutan dua warga Singapura yang dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir bulan lepas.

Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak merebak.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu melibatkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 peserta dari Malaysia.

Larangan umrah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad semalam berkata jika penularan wabak itu memasuki tahap tidak terkawal, solat Jumaat boleh diganti Zuhur di rumah.

Bagaimanapun, kata beliau tiada keperluan untuk tidak mengadakan solat Jumaat buat masa ini, namun khutbah perlu dipendekkan.

"Orang ramai disarankan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan khutbah perlu dipendekkan bagi mengurangkan jemaah terdedah dengan persekitaran," kata bekas mufti itu yang turut menyarankan pihak masjid menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Beberapa negara Islam baru-baru mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Arab Saudi misalnya mengeluarkan larangan sementara kepada umat Islam daripada mengerjakan ibadah Umrah, manakala Iran menghentikan solat Jumaat buat sementara waktu.

Pemerintah Indonesia pula menyarankan kepada warganegaranya yang beragama Islam agar menunaikan ibadat di rumah bagi mengelakkan jangkitan.

Bagaimanapun, fatwa mengenai solat Jumaat ketika berlakunya penyebaran wabak berkenaan adalah berbeza-beza berdasarkan situasi semasa bagi setiap negara.