Skip to main
Logo Malaysiakini

Mukhriz nafi k'jaan Kedah bakal tergugat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun beberapa negeri di bawah Pakatan Harapan tumbang susulan kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, Menteri Besar Mukhriz Mahathir menafikan Kedah akan mengalami nasib yang sama.

Sebaliknya beliau berkata keadaan di negeri itu masih terkawal berbanding dengan beberapa negeri yang sebelum ini di bawah pentadbiran PH.

“Kami di Kedah ada cara tersendiri untuk mengurus keadaan, kita di sini sebenarnya menjaga hubungan dengan semua pihak, termasuklah pihak pembangkang.

"Bermakna di Kedah, tidak semestinya mengikut arus yang berlaku di peringkat nasional,” katanya lapor Sinar Harian.

Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas Johor, Melaka dan Perak apabila majoriti anggota parlimen menukar sokongannya. 

PN terbentuk selepas Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak keluar PH sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan pusat.

Mengulas lanjut hal itu, Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu berkata pihaknya yakin Adun PH mahupun Bersatu tidak akan mengubah sokongan atau lompat kepada blok pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ini kerana katanya beliau percaya semua pihak di negeri itu mahukan suasana politik yang bebas daripada masalah supaua pentadbiran negeri berjalan dengan lancar.

“Saya ingat tiada usaha untuk jatuhkan kerajaan sedia ada dan tubuhkan kerajaan yang baru. Saya juga sudah perjelaskan situasi sebenar kepada Dr Mahathir,” katanya.

Susulan daripada gerakan yang dinamakan Langkah Sheraton, Bersatu membuat keputusan meninggalkan PH disusuli dengan tindakan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali bersama 10 anggota parlimen lain turut keluar parti dan menyertai Bersatu.

Situasi itu membawa kepada krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk PN dengan sokongan Umno, PAS, GPS.