Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Masyarakat Tawau diminta tak buat pembelian panik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masyarakat di daerah Tawau diminta tidak melakukan pembelian panik barangan keperluan harian berikutan laporan tentang penularan jangkitan Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata keadaan setakat ini terkawal dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan oleh pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di daerah itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Liew berkata beliau sudah dimaklumkan perkembangan terkini berkenaan tindakan pihak JKNS dan pihak Hospital Tawau yang telah mengaktifkan "Fever Centre" di Hospital Besar Tawau.

Katanya seramai 350 orang dari Tawau yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas, sebilangan besarnya telah melakukan proses pemeriksaan saringan dan selebihnya sedang dikesan oleh pihak JKNS.

"Seorang daripada peserta telah didapati positif terkena jangkitan Covid-19 dan langkah kuarantin serta merta telah diambil oleh pihak Hospital Besar Tawau," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memuji tindakan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Amrullah Kamal yang menunda program Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac ini sebagai satu langkah yang bijak dan berhati-hati berikutan Covid-19.

Beliau juga meminta kepada netizen Tawau agar tidak menyampaikan maklumat-maklumat palsu di dalam media sosial yang boleh mengakibatkan keadaan panik.

Liew berkata masyarakat Tawau perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti di luar dan sentiasa memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan umum, menyediakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun.

- Bernama


Ikuti perkembangan terbaru berhubung Covid-19 di laman khas Malaysiakini.