Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki disyaki Covid-19 'sekejap ada, sekejap tidak ada'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang lelaki disyaki dijangkiti Covid-19 dari perhimpunan tabligh di Sri Petaling yang menghilangkan dirinya di sebuah klinik di Shah Alam semalam telah kembali ke klinik yang sama pagi ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol, lelaki berusia 54 tahun itu kembali ke Klinik Kesihatan Bukit Naga sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Dia kembali ke klinik itu pagi ini dan klinik tersebut menghantarnya ke hospital," kata Ramsay kepada Malaysiakini.

Pada suatu laporan polis tular yang dibuat oleh doktor dari klinik berkenaan semalam, seorang pembantu perubatan mendapati lelaki terbabit hilang dari klinik itu sekitar jam 1 petang.

Selepas dihubungi, lelaki itu berkata dia akan kembali kemudian tetapi gagal berbuat demikian pada hari yang sama. Klinik itu tidak dapat menghubunginya sebelum memutuskan untuk memfailkan laporan polis.

Diagnosis awal mendapati lelaki itu membawa gejala Covid-19 dan laporan tersebut menyebut bahawa dia terbabit dalam perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat anggaran jumlah sebenar peserta Malaysia pada majlis tabligh itu.

Berdasarkan siasatannya, KKM berkata terdapat kira-kira 16,000 peserta majlis 'ijtima tabligh' di masjid itu dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Daripada jumlah ini, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia, menurut infografik yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah malam tadi.

Terdahulu minggu ini, Noor Hisham berkata jumlah peserta dianggarkan 10,000 orang, yang mana separuh adalah rakyat Malaysia.

[Baca berita asal]