Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Cuti tanpa gaji lebih baik dari hilang kerja, kata MEF

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat langkah majikan yang menawarkan cuti tanpa gaji atau mengurangkan gaji pekerja ketika terjejas dengan gelombang kedua Covid-19, adalah lebih baik daripada mereka kehilangan pekerjaan.

Menurut pengarah eksekutifnya Shamsuddin Bardan, beliau berharap majikan dibenarkan mengambil langkah penjimatan seperti itu kerana boleh dikatakan semua sektor terjejas susulan wabak tersebut.

"Pada akhirnya mereka masih ada kerja lagi kerana ini adalah alternatif kepada retrenchment (pengurangan kos).

“(Ia) sebagai langkah untuk mengelakkan pemberhentian kerja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini apabila diminta mengulas sama ada langkah tersebut akan menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

“Jadi, akhirnya jika mereka hilang kerja, akan sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang lain,” kata Shamsuddin dengan membandingkan pilihan cuti tidak berbayar.

Semalam, The Edge Markets melaporkan Malaysia Airlines Berhad meminta 13,000 kakitangannya mengambil cuti tidak bergaji susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu, bermula bulan depan.

Syarikat itu membuat tawaran itu kepada semua kakitangannya untuk mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tidak bergaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan mulai April ini.

Ia turut ditawarkan kepada anak syarikat di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, MAB Engineering, Firefly and MASwings.

Laporan itu juga berkata, pada Isnin, ketua pegawai eksekutif kumpulan MAS, Izham Ismail mengumumkan potongan gaji sebanyak 10 peratus ke atas kakitangan kanannya, termasuk melibatkan elaun mereka bagi mengurangkan kos operasi. 

Shamsuddin berkata penularan Covid-19 semakin serius sehingga bulan lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan pakej rancangan ekonomi sebagai langkah menghadapi penularan pantas wabak tersebut.

Namun, beliau berkata pakej tersebut harus diteliti semula oleh kerajaan terkini, memandangkan wabak tersebut sudah ke peringkat gelombang kedua.

“Covid-19 dan keadaan ekonomi dunia pada masa ini menjejaskan operasi banyak majikan terutamanya yang berkait rapat dengan pelancongan dan perhotelan,” katanya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 158 kes Covid-19 dan daripada jumlah itu, 32 orang telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital.

Malaysia turut mengenakan larangan perjalanan kepada semua warganegara Denmark, Itali, Iran dan Korea Selatan, serta terhadap pengunjung yang tiba dari negara berkenaan.

Lebih 130,000 orang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan 4,900 kematian dicatatkan.