Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Covid-19 dijangka berterusan, program awam ditangguh hingga 30 Apr

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata wabak Covid-19 dijangka akan berterusan dan tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Katanya, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengawal penularan wabak, negara ini masih berdepan peningkatan kes membabitkan Covid-19, yang kini berada pada gelombang kedua.

"Dengan trend kes sedia ada, wabak ini dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. 

"Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Sehubungan itu Muhyiddin berkata kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020. 

"Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik," katanya.

Malaysia mencatatkan 22 kes pada gelombang pertama dengan catatan kes positif koronavirus di negara ini bermula pada 25 Jan.

Secara keseluruhan setakat hari ini, sebanyak 197 kes telah direkodkan.

Pada 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama juga juga telah mengeluarkan garis panduan berhubung perhimpunan ibadat di masjid untuk mengelakkan penularan wabak.

"Saya berharap pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri turut mengeluarkan garis panduan yang serupa dengan mengambil kira nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa," jelasnya.

Bagi pelajar sekolah pula, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan wabak.